4 agensi tawan Gunung Tahan

- Advertisement -

MERANDUK enam batang sungai berarus deras pada kedalaman sekitar satu meter, manakala dasarnya berbatu-batan licin bukanlah suatu yang mudah pada awal perjalanan ke Gunung Tahan melalui pintu masuk Kuala Juram di Merapoh, Pahang.

Itu hanyalah sebahagian daripada cabaran getir yang dialami 70 pendaki dalam Ekspedisi Gunung Tahan anjuran Jabatan Perhilitan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelab Media Pahang.

Pelbagai cabaran dapat dirakam setiap pendaki yang menempuh perjalanan empat hari tiga malam dengan keseluruhan jarak 64 kilometer (km) pergi dan balik untuk menggapai titik tertinggi tanah Semenanjung pada ketinggian 2,187 meter dari paras laut di atas jajaran Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang negara kita.

 

PESERTA media yang berjaya menawan puncak Gunung Tahan.
PESERTA media yang berjaya menawan puncak Gunung Tahan.

 

Penulis yang turut serta dalam ekspedisi itu berpendapat inilah pendakian paling sukar pernah dialami walaupun sudah berjaya mengharung cabaran lebih 20 gunung lain yang jauh lebih tinggi di dalam dan luar negara sebelum ini.

Perjalanan hari pertama agak mendatar sejauh 10km ke Kem Kor dengan purata masa antara lima hingga tujuh jam mengikut kemampuan masing-masing. Walaupun mendatar, keadaan trek yang basah dan banyak pacat sedikit mengganggu pergerakan.

Khemah ditegakkan di Kem Kor untuk berehat malam pertama, namun hujan lebat yang pastinya mengganggu lena kerana tanah digenangi air dan kedinginan menusuk ke tulang.

 

BEREHAT sebentar kerana lelah selepas jauh berjalan.
BEREHAT sebentar kerana lelah selepas jauh berjalan.

 

Seawal jam sembilan pagi semua peserta dijerkah komandan kem yang juga Ketua Unit Operasi Menyelamat Tektikal Khas Malaysia (STORM) Pahang, Muhamad Haziq Hazmi untuk bersedia memulakan perjalanan hari kedua yang diberitakan lebih mencabar membabitkan jarak 16 kilometer ke Kem Botak.

Memang inilah ujian sebenar ketahanan mental dan fizikal pendakian ke Gunung Tahan. Kondisi trek becak membenam ke paras pergelangan kaki, jurang curam menyeksa jemari kaki, bukit pacak hingga lutut bertemu dagu, batu-batan licin memungkinkan tergelincir, akar pepohon menjadi pegangan, darah tumpah dirobek deduri rotan, ada pula tebuan hinggap menyengat dan bermacam lagi kerenah di sepanjang pendakian.

 

AKAR kayu menjadi tempat berpegang untuk memanjat dan menuruni tebing.
AKAR kayu menjadi tempat berpegang untuk memanjat dan menuruni tebing.

 

Namun, trek hari kedua sepanjang 16 kilometer itu berjaya diharung walaupun dengan merangkak, menggelongsor dan apa cara sekali pun melalui beberapa kem termasuk Permatang, Kubang, Belumut dan Bonsai sebelum ke Kem Botak untuk berehat malam kedua.

Penulis sendiri sampai ke Kem Botak selepas matahari terbenam apabila dinasihatkan berhenti seketika di Kem Bonsai bagi menghormati waktu Maghrib. Pemandangan biasa pepohon renek seluas mata memandang dan bermacam bunyian boleh didengar daripada siulan unggas gunung pada waktu itu.

 

PESERTA PDRM yang berjaya menawan puncak Gunung Tahan.
PESERTA PDRM yang berjaya menawan puncak Gunung Tahan.

 

Memang terlalu penat dan habis tenaga dibuatnya perjalanan hari kedua itu. Berat kaki melangkah seolah-olah ada batu besar terikat di betis, yang tinggal hanya semangat mengheret kaki ke Kem Botak.

Selepas makan dan minum sepuasnya, kami berehat dan tidur awal untuk mengembalikan tenaga bagi persediaan menyerang puncak seawal jam lima pagi pada keesokan hari.

 

GUNA tangga untuk panjat tebing 90 darjah.
GUNA tangga untuk panjat tebing 90 darjah.

 

Sekali lagi, kami dijerkah wisel komandan kem. Tapi badan berasa segar apabila cukup rehat. Selepas sedikit taklimat dan bacaan doa, semua 70 peserta bergerak ke puncak dengan anggaran perjalanan sekitar 45 minit hingga satu jam.

Gelap gelita sepanjang trek hanya berpandukan cahaya lampu suluh pendaki mengorak langkah di atas batu-batu yang dihiasi rerumput tanah tinggi.

Kepuasan yang sukar digambarkan apabila semua peserta berjaya mengecap puncak Gunung Tahan sebelum terbit mentari diiringi air mata dan tawa gembira. Jelas didengar ucapan tahniah sesama pendaki.

 

PESERTA JBPM yang berjaya menawan puncak Gunung Tahan.
PESERTA JBPM yang berjaya menawan puncak Gunung Tahan.

 

Pelbagai gaya dan aksi berlatarbelakangkan pemandangan indah dinihari dirakam untuk memenuhi ruang setoran telefon bimbit masing-masing, malah ada yang merakam video ucapan istimewa untuk pasangan tercinta yang setia menanti di rumah.

Selepas puas berada di kedudukan lebih tinggi daripada awan, semua pendaki turun semula ke Kem Botak untuk bersarapan dan bersiap untuk turun semula ke Kem Kor. Bermalam lagi di situ sebelum berjalan pulang pada keesokan harinya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat