KUALA LUMPUR – PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengecut yang mengakibatkan kematian pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadi beliau di Tehran awal pagi ini.
Menurut laporan media yang memetik kenyataan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), beliau dibunuh di kediamannya di ibu negara Iran itu selepas menghadiri majlis mengangkat sumpah jawatan Presiden Iran yang baharu semalam.
Hamas dalam kenyataannya sejurus selepas kejadian menyebut bahawa Haniyeh dibunuh dalam “serangan oleh pengecut Israel”.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata, PAS beranggapan insiden ganas ini berkait rapat dengan ketegangan yang berlaku di Timur Tengah, terutamanya genosid berterusan di Gaza yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dan peranan Haniyeh sebagai pemimpin utama yang mengetuai penentangan terhadapnya.
“Selain itu, ia juga berkait dengan peningkatan konfrontasi yang berlaku antara Israel dan Hizbullah di Lebanon dan tekanan meluas yang dihadapi oleh rejim berkenaan dan pemimpinnya daripada komuniti dunia.
“Ini termasuklah daripada PBB dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan tindak-tanduk rejim berkenaan yang melampaui batas undang-undang Antarabangsa dan kemanusiaan, terutamanya di Gaza,” katanya.
Dengan perkembangan terbaru ini, ujar beliau besar kemungkinan konflik yang berlaku akan merebak lebih meluas ke seluruh rantau terbabit dan semua usaha ke arah penyuraiannya akan menempuh jalan sukar.
“Regim Zionis Israel mesti dihukum bertanggungjawab di atas seluruh siri-siri kekejaman yang menghancurkan keamanan dunia ini,” tegas Takiyuddin.
Dalam pada itu, menurut beliau PAS mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua syahid, sekali gus merakamkan sokongan serta solidariti penuh dengan rakyat Palestin dan umat Islam di wilayah terbabit dalam perjuangan sah mereka menentang pencerobohan dan penjajahan Israel dan sekutunya sejak sekian lama.
“Sehubungan dengan itu juga PAS menyeru seluruh umat Islam agar dapat mengadakan solat ghaib dan diikuti Solat Hajat serta Qunut Nazilah pada 3 Ogos ini sempena Hari Solidariti Rakyat Palestin yang terus diserang dan yang berada di penjara-penjara Israel,” serunya.