GV Ride, sebuah syarikat e-hailing tempatan, mengumumkan pelancaran perkhidmatan mereka yang mesra bajet dan inovatif di Malaysia. Bakal dilancarkan pada hujung tahun ini, GV Ride bakal beroperasi di kawasan Lembah Klang dan telah mula menawarkan pelbagai ciri unik yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pemandu dan penumpang.
Sebagai salah satu daripada 30 syarikat yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), GV Ride komited untuk menyediakan Lesen Kenderaan E-hailing (EVP) kepada pemandu mereka sebelum pengaktifan akaun dalam talian. Syarikat ini juga menekankan keutamaan untuk sentiasa mendengar maklum balas daripada pengguna dan pemandu bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik.
Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh GV Ride termasuklah sistem rundingan harga yang membolehkan penumpang menetapkan tambang pilihan mereka. Perjalanan akan disahkan jika pemandu bersetuju dengan harga tersebut. Penumpang juga boleh memilih pemandu mereka, menjejaki lokasi kenderaan, mendapatkan anggaran masa ketibaan, serta memilih kaedah pembayaran yang pelbagai. Selain itu, pengguna juga diberi pilihan untuk memilih jenis kereta yang mereka inginkan.
Dalam usaha untuk mempromosikan penggunaan tenaga yang lebih bersih, GV Ride merancang untuk memperkenalkan kereta elektrik pada akhir tahun 2024. Syarikat ini juga akan menawarkan skim penjimatan di mana pemandu boleh menyewa kereta elektrik untuk kegunaan e-hailing, sebagai sebahagian daripada komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar.
Selain itu, GV Ride menyediakan sistem bidaan yang fleksibel dengan kadar tambang pemandu minimum bermula dari RM1.25/km. Syarikat ini sedang menawarkan bonus pra-pelancaran untuk penjemputan lebih dari 5 km sebagai insentif untuk pemandu.
Menjelang pelancaran rasmi, GV Ride telah melaksanakan langkah-langkah kualiti yang ketat, termasuk proses jaminan kualiti (QA) untuk memastikan kestabilan sistem dan aplikasi mereka. Ini dilakukan untuk meminimumkan masalah teknikal yang biasanya dihadapi oleh syarikat e-hailing baharu.
Dengan fokus pada kepuasan pengguna dan keselamatan, GV Ride juga memperkenalkan ciri kecerdasan buatan (AI) dalam aplikasi mereka untuk mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan pendapatan pemandu. Syarikat ini turut menawarkan kadar komisen yang jauh lebih rendah berbanding pesaing e-hailing lain di Malaysia.
Dalam masa terdekat, GV Ride merancang untuk melancarkan kempen pengiklanan pemandu dan menyediakan kod promo serta baucar kepada pengguna. Pemandu yang berminat boleh mendaftar melalui aplikasi, dengan perkhidmatan pelanggan yang sedia membantu 24/7 melalui Autobot dan ejen perkhidmatan pelanggan.
GV Ride optimis bahawa pendekatan mesra alam dan inovatif mereka akan memberikan pengalaman e-hailing yang lebih baik kepada pengguna di Malaysia.