RM100 Ribu Bantuan Persekolahan Untuk Pelajar Di Melaka

YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Bin Md Ali, Ketua Menteri Melaka (Tengah, Baju Putih) bersama Encik Syaiful Rizal Abdul Ghani (Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Baju Biru) Dan YB. Fairul Nizam Bin Roslan (Adun Asahan) dalam penyampaian Mock Cheque Sumbangan

ASAHAN – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bernilai RM100 ribu kepada murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Tangga Batu, Kota Melaka dan Asahan bagi membantu sesi persekolahan yang telah memasuki fasa endemik.

Seramai 1,000 orang pelajar telah menerima bantuan ini di dalam program bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat.

Replika cek bantuan persekolahan ini telah disempurnakan oleh Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin Pengerusi YBR di majlis penyerahan yang berasingan. Turut hadir dalam sesi penyampaian ini adalah Syaiful Rizal Abdul Ghani selaku Pengurus Besar YBR dan Mohamad Ghazali Zainal Abidin Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, sumbangan ini diharapkan dapat membantu mereka terutamanya yang berada dikalangan keluarga B40 bagi meringankan urusan kewangan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dari segi pembelian set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing￾masing.

Cakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat gelombang Covid-19 yang melanda sejak dua tahun ini dan juga melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa atau penjaga dalam menanggung sesi persekolahan yang dijalankan semasa fasa endemik.

Tambah beliau lagi, “Bantuan yang disalurkan kepada mereka yang layak ini diharapkan dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu serta sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan”.

Untuk makluman sehingga kini, seramai 60,558 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM6.72 juta sejak dari tahun 2018. Bagi tahun 2022, sejumlah RM3.0 juta diperuntukan dalam program bantuan persekolahan.