CYBERJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa prihatin dan terbuka dengan pandangan semua pihak yang berkepentingan, berkaitan kebajikan penjawat awam melalui platform sedia ada, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau berkata antara platform itu seperti Majlis Bersama Kebangsaan (MBK), Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan sesi konsultasi secara berterusan dengan agensi-agensi kerajaan serta kesatuan-kesatuan pekerja secara langsung dan tidak langsung.

Katanya penambahbaikan berterusan berhubung kebajikan penjawat awam yang merangkumi semakan saraan (gaji, elaun dan kemudahan) serta laluan kerjaya, juga sedang dibuat secara holistik dengan mengambil kira kesesuaian dan situasi ekonomi serta kedudukan kewangan negara.

“JPA komited dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terpelihara dan ditambah baik dari semasa ke semasa, selaras dengan aspirasi keterangkuman Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Shafiq berkata JPA mengeluarkan kenyataan itu bagi merujuk kepada laporan media mengenai gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), yang mahu kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan.

Semalam media melaporkan CUEPACS menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau berisiko berdepan protes jalanan daripada penjawat awam.

Mohd Shafiq berkata pada dasarnya JPA telah melaksanakan beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia diperkenalkan pada tahun 2002, yang melibatkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji.

“Sebagai contoh pada tahun 2016, faedah pemindahan gaji bersamaan 1 (satu) Kenaikan Gaji Tahunan (KGT), diberikan kepada penjawat awam.

“Selain itu, hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak yang berkepentingan, dasar-dasar berkaitan kebajikan penjawat awam termasuklah kemudahan bekerja dari rumah, waktu bekerja yang fleksibel, penambahbaikan kemudahan cuti (contoh Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin Atau Memerlukan Pengasingan) dan elaun, turut dipanjangkan kepada penjawat awam,” katanya.