Kit Siang Akui Sokong Idea PAS Sertai Kerajaan Perpaduan Tapi Itu Bukan Pendirian DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang mengakui beliau menyokong idea untuk PAS menyertai Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim namun beliau menyatakan ia cuma pendapat peribadi bukannya pendirian DAP.

Pun begitu, Veteran DAP itu menegaskan, PAS perlu menunjukkan yang mereka bersedia untuk menunjukkan perubahan dengan menyokong titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru supaya adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam negara.

“Walaupun saya menyokong idea untuk PAS menyertai kerajaan perpaduan Anwar, PAS perlu menunjukkan yang mereka bersedia untuk menunjukkan perubahan dengan menyokong titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang menyeru supaya adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam negara.

“Sebagai permulaan, adakah Hadi bersedia untuk menarik semula dan memohon maaf untuk pelbagai tuduhan liarnya sebelum ini yang dibuat terhadap DAP dan saya?

“Kedua, adakah ahli-ahli Parlimen PAS akan menunjukkan yang mereka akan berhenti memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan dan sebaliknya menjadi contoh teladan sebagai ahli Parlimen yang menyokong kestabilan politik dan perpaduan nasional?

“Ketiga, adakah PAS akan menyokong matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia? soal Kit Siang dalam kenyataannya pada Rabu.

Jelas sekali apa yang saya cuba lakukan dalam 14 bulan yang lepas gagal apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya yang cadangan saya untuk PAS menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar adalah satu cadangan rasmi dan bukannya satu pendapat peribadi saya yang tidak rasmi, ujar Kit Siang.

“Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin mengatakan “Hakikatnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput PAS menyertai Kerajaan Perpaduan”. Khairil tersilap. Saya bukanlah penasihat DAP,” jelas beliau.

Kit Siang menjelaskan apa yang beliau katakan kepada Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 18 Mei ialah “pertamanya, izinkan saya untuk jelaskan yang cadangan kerjasama di antara Kerajaan Perpaduan Anwar dan PAS untuk menyelesaikan isu masalah air dan kekurangan pembangunan yang telah berlanjutan selama 60 tahun di Kelantan, Terengganu, dan Kedah ini adalah idea peribadi saya dan bukannya cadangan DAP memandangkan saya belum membincangkan perkara ini dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, atau mana-mana pemimpin DAP yang lain.

“Malah, perkara ini merupakan sebab mengapa saya menolak cadangan Anthony Loke untuk melantik saya sebagai mentor DAP kerana saya ingin bebas memberikan pandangan dan idea peribadi mengenai situasi politik semasa, baik di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, tanpa perlu melibatkan DAP secara langsung.

“Saya percaya yang usaha saya selama setahun telah membuktikan perkara ini dan penjelasan ini patut mengukuhkan lagi perkara ini tanpa sebarang keraguan.”

“Namun, Ketua Penerangan PAS berfikir sebaliknya. Adakah Hadi bersetuju dengan Ketua Penerangannya? soal bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Kemudian katanya, beliau telah mengeluarkan satu kenyataan pada 29 Mei yang bertanya kepada Hadi apakah yang difikirkannya apabila dia mendakwa — selepas penerbitan kenyataan Tuan Ibrahim dan penjelasan kedua saya — yang PAS ditawarkan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar tetapi Hadi mahu peranan yang lebih dominan memandangkan PAS mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak berbanding dengan mana-mana parti yang lain.

Namun Kit Siang menyatakan, perkara ini menunjukkan ketiadaan kejujuran Hadi dalam cubaan menyertai Kerajaan Perpaduan kerana dia lebih berminat dengan dominasi PAS dan bukannya perpaduan.

“Atau adakah Hadi tersilap baca cadangan saya untuk PAS bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar untuk menyelesaikan masalah-masalah yang telah lama berlanjutan, seperti masalah air selama 60 tahun dan masalah kekurangan pembangunan di Kelantan, Terengganu, dan Kedah sebagai satu jemputan rasmi untuk Hadi atau PAS menyertai kerajaan perpaduan Anwar?

“Tidak mungkin untuk Hadi tidak sedar mengenai penjelasan saya bahawa perkara ini adalah idea peribadi saya dan bukannya cadangan dari DAP atau kerajaan perpaduan Anwar kerana saya tidak berbincang mengenai perkara ini dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, atau mana-mana pemimpin DAP yang lain, apatah lagi dengan para pemimpin atau menteri dari Kerajaan Perpaduan Anwar.

“Biarlah Hadi jelaskan sama ada dia memikirkan yang cadangan cadangan saya adalah cadangan rasmi bagi pihak Kerajaan Perpaduan Anwar dan biar jelaskan sama ada dia akan menerima tiga cadangan saya sebelum PAS boleh menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar ini,” kata Kit Siang.

Pun begitu kata beliau lagi, jelas sekali Ketua Penerangan PAS tidak berhubungan dengan Presiden PAS apabila dia mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal yang mengatakan beliau yang telah terlebih dahulu menjemput PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Khiril Nizam dalam kenyataan media mengkritik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan Hadi ‘jangan nak perasan’ membayangkan Presiden Umno itu tidak ‘buat homework’ dalam menjawab isu.

“Hakikatnya Penasihat DAP, Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput PAS menyertai Kerajaan Perpaduan kerana kedudukan kerajaan amat genting ketika ini dan Umno tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu.

“Zahid perlu berhenti dari menipu dan terus menipu ahli Umno mahupun rakyat. Penipuan terbesarnya adalah propaganda tidak bersama DAP dan Anwar tetapi akhirnya bersama parti yang dibenci ahli UMNO itu sejak sekian lama.

“Perikatan Nasional (PN) akan terus mengatur langkah bersiap sedia sebagai kerajaan yang lebih profesional dan prihatin mendengar keluhan rakyat berbanding kerajaan porak peranda PH-BN ketika ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat