Asia Tech x Singapore Ruang Terbaik Berinteraksi Cabaran Dunia Digital – Annuar

- Advertisement -

SINGAPURA – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Annuar Musa berkata sidang Asia Tech x Singapore (ATxSG) 2022 yang dihadirinya di sini pada Selasa menyediakan ruang untuk perbincangan luas dan mendalam mengenai cabaran yang timbul daripada dunia digital yang pesat berkembang.

“Ia penting untuk agensi-agensi kami terutamanya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dan juga syarikat Malaysia untuk terlibat dalam Sidang Kemuncak seperti ini, dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama di luar acara ATxSG.

ATxSG disifatkan sebagai acara teknologi terbesar yang dianjurkan oleh Singapura sejak pembukaan semula sempadannya dan akan berlangsung selama empat hari hingga 3 Jun 2022. Acara itu juga menyaksikan penyertaan eksekutif kanan daripada syarikat teknologi terbesar dan paling pesat berkembang di dunia seperti Perkhidmatan Web Amazon, Epic Games, Google, IBM, Microsoft dan Kumpulan Ping An.

Annuar hadir ke ATxSG sebagai ahli panel bersama pada sesi yang menampilkan menteri komunikasi dari seluruh dunia yang bercakap mengenai topik bertajuk “Teknologi, Masyarakat dan Peranan Dasar”.

“Saya amat berbesar hati kerana dijemput. Ini merupakan kehadiran ATxSG pertama saya. Banyak yang saya belajar dan pada masa yang sama saya mengambil peluang untuk berhubung dengan rakan sejawat dan pemain industri,” tambahnya.

Di luar acara, Annuar mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Singapura Josephine Teo.

Beliau turut mengadakan pertemuan berasingan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia Johnny G Plate dan Brunei Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof.

Pertemuan dua hala dengan Brunei membincangkan kemungkinan kerjasama dalam mewujudkan infrastruktur digital yang selamat antara sempadan dan mengadakan memorandum persefahaman (MOU) mengenai kerjasama digital antara kerajaan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Annuar berkata dalam sesi ucapannya, beliau berkongsi pengalaman Malaysia khususnya mengenai cabaran yang diharungi negara dalam dunia digital yang difikirkan relevan untuk turut difahami oleh banyak pihak.

“Lain negara lain cabarannya dan agak berbeza,” tambahnya.

“Bagi Malaysia, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu melihat persoalan bagaimana untuk memastikan semua orang mempunyai akses kepada ekonomi digital… bagaimana untuk melatih orang ramai di kawasan luar bandar…bagaimana untuk mencapai keseimbangan antara tumpuan kita dengan memberi semua peluang kepada usahawan besar dan mengimbanginya dengan PKS (perusahaan kecil dan sederhana),” kongsinya.

Annuar disertai oleh eksekutif tertinggi MDEC dan MCMC. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat