KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar menyangkal khabar palsu kononnya beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.
Anak sulung Perdana Menteri itu sebaliknya menegaskan, tiada sebarang perubahan berlaku dalam struktur kepimpinan sedia ada, dan fokus utama beliau kini adalah untuk terus memperkukuh agenda perjuangan parti.
“Saya merujuk kepada khabar angin dan dakwaan yang sedang tular di media sosial berhubung kedudukan saya dalam kepimpinan PKR.
“Dengan ini, saya ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya saya meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR adalah tidak benar sama sekali.
“Saya kekal komited menjalankan amanah yang diberikan selaras dengan mandat anggota parti dan proses demokrasi organisasi.
“Saya menghargai keprihatinan semua pihak, namun saya menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat palsu atau spekulasi yang berniat jahat,” tegas Izzah.
Menurut beliau, segala maklumat sahih hanya akan disalurkan melalui kenyataan rasmi parti.
Spekulasi Nurul Izzah mengosongkan jawatan Timbalan Presiden PKR tular di media sosial baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan parti.
Anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dipilih sebagai Timbalan Presiden parti berkenaan bagi penggal 2025-2028 pada pemilihan tahun lepas apabila menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pertandingan satu lawan satu.



