CYBERJAYA – Dr Akmal Saleh menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk susulan kematian tragis seorang mangsa dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz bin Omar yang terkorban akibat insiden tersebut, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai satu lagi peringatan serius mengenai bahaya pemandu mabuk di jalan raya.
Menurut beliau, insiden seumpama itu bukan lagi kes terpencil, sebaliknya semakin kerap berlaku sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Lebih membimbangkan, kejadian sebegini seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada golongan terbabit dan dilihat semakin berleluasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda sehingga RM100,000, ia masih belum cukup berkesan sebagai pencegah.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan termasuk pendakwaan di bawah Kanun Keseksaan bagi kes melibatkan kematian, dengan hukuman lebih berat seperti penjara seumur hidup atau hukuman setimpal.
Selain itu, beliau mencadangkan agar pampasan mandatori dikenakan kepada pelaku bagi membantu keluarga mangsa, serta penubuhan skim khairat kematian berpusat untuk semua pemegang lesen memandu bagi mempercepatkan bantuan kepada waris.
Beliau turut menggesa Menteri Pengangkutan dan semua Ahli Parlimen supaya mengambil tindakan segera tanpa mengira perbezaan politik, dengan membawa usul berkaitan ke Parlimen.
“Nyawa manusia tidak boleh terus dipertaruhkan. Jangan tunggu sehingga lebih ramai menjadi mangsa sebelum tindakan diambil,” tegas beliau.
Kenyataan tersebut mencerminkan desakan agar isu pemandu mabuk tidak lagi dianggap kesalahan biasa, sebaliknya ditangani dengan pendekatan lebih tegas demi keselamatan pengguna jalan raya.



