99.8 Peratus Penduduk Dewasa Johor Lengkap Vaksinasi, 75.9 Peratus Dos Penggalak

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Menjelang pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura serta fasa endemik negara, kadar vaksinasi lengkap melibatkan penduduk dewasa di negeri Johor sudah mencecah 99.8 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon berkata, kadar vaksinasi dos penggalak bagi penduduk dewasa pula adalah sebanyak 75.9 peratus yang direkodkan sehingga kelmarin.

Beliau berkata, bagi golongan remaja yang berumur 12 hingga bawah 18 tahun, sebanyak 95.8 peratus telah menerima vaksinasi lengkap masing-masing serta golongan kanak-kanak yang berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang menerima dos pertama pula sebanyak 44.3 peratus.

“Dengan tahap vaksinasi Covid-19 lengkap yang tinggi, langkah sedang giat dirancang bagi pembukaan semula negara dengan prosedur baharu bagi melicinkan perkhidmatan di pintu-pintu masuk antarabangsa di negeri Johor.

“Kerajaan negeri sedang berusaha untuk memastikan langkah ini dilaksanakan secara selamat dan berperingkat.

“Pada fasa permulaan ini, tumpuan diberikan kepada pembukaan semula sempadan darat di antara Johor dan Singapura khususnya dan sempadan udara secara umumnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan negara memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April sebagai langkah rakyat kembali semula kepada kehidupan normal selepas melalui fasa pemulihan pandemik Covid-19 yang masih belum tamat.

Tindakan itu mengambil kira beberapa faktor dan penilaian risiko yang dilakukan termasuk tahap vaksinasi Covid-19 lengkap yang tinggi dalam kalangan rakyat termasuk di negeri Johor.

Mengikut prosedur baharu pembukaan sempadan, kelonggaran menjalani kuarantin diberikan kepada mereka yang telah lengkap vaksin contohnya bagi mereka yang akan memasuki negeri melalui sempadan darat Johor-Singapura.

Sehubungan itu, Tian Soon menyarankan agar penduduk dewasa yang layak tetapi masih belum menerima dos penggalak untuk segera mendapatkan vaksinasi Covid-19.

“Para ibu bapa pula yang anak-anaknya berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang masih belum menerima vaksin juga disarankan segera mendaftar anak-anak mereka dalam MySejahtera serta memberi kebenaran secara bertulis untuk menerima vaksin Covid-19.

“Ini adalah untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada jangkitan Covid-19 dan seterusnya membolehkan kanak-kanak menjalani aktiviti harian dengan lebih selamat terutama aktiviti di luar rumah dan tempat belajar,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat