Muhyiddin terdesak tangguh Undi 18 – Aziz Kaprawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Aziz Kaprawi menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik seperti mana yang telah dipersetujui dan disokong penuh oleh kesemua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019.

Kata bekas Timbalan Menteri Pengangkutan itu, alasan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah amat tidak munasabah serta bercanggah dengan kenyataan Pengerusi SPR pada tahun lalu yang menyatakan segala persiapan bagi pelaksanaan ini akan diselesaikan selewat-lewatnya Julai 2021.

“Sekiranya Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik ini gagal diteruskan, ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan penghinaan dan pengkhianatan yang dasyat terhadap Parlimen dan sistem demokrasi negara kita.

“Ini sekali gus memberi persepsi bahawa kerajaan Muhyiddin seolah-olah sangat terdesak ingin mengekalkan kuasa dan sanggup menggunakan apa jua cara dan helah demi mencapai matlamat tersebut,” bidas Aziz di Facebooknya.

Menurut beliau, SPR perlu dilihat adil dan bebas daripada sebarang campur tangan politik tetapi malangnya apa yang kelihatan adalah SPR seperti diberi tekanan serta dijadikan tunggangan politik Kerajaan PN.

“Saya menggesa supaya Kerajaan PN untuk segera menghentikan apa juga tekanan politik terhadap SPR sekiranya ada dan meneruskan agenda pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik mengikut garis masa yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Hormati keputusan sidang dewan Parlimen dan hormati jua sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh negara kita,” katanya. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat