Kamal, Uqasha nikah di pusat peranginan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasangan popular, Kamal Adli, 35, dan Uqasha Senrose, 29, mengesahkan bakal diijabkabulkan, namun enggan mendedahkan tarikh pernikahan mereka.

Memilih sebuah pusat peranginan tanah tinggi terkemuka untuk majlis akad nikah dan resepsi, pelakon drama Setelah Terlafaznya Akad dan Perempuan Tanpa Dosa dijangka mengadakan tiga majlis resepsi, tidak lama lagi.

Uqasha berkata, persiapan untuk majlis perkahwinan sudah hampir 80 peratus siap. Majlis pertama khas untuk keluarga, teman rapat dan media, manakala majlis kedua pula untuk rakan artis. Majlis ketiga pula diadakan untuk meraikan peminat yang banyak menyokong mereka.

“Alhamdulillah, persiapan majlis perkahwinan kami dipermudahkan. Setakat ini, persiapan untuk majlis pertama sudah hampir 80 peratus siap. Selepas penggambaran Rindu Awak Separuh Nyawa selesai, saya akan memberikan fokus kepada perniagaan. Selepas itu, barulah saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada majlis perkahwinan.

“Mengikut perancangan, kami memilih sebuah pusat peranginan tanah tinggi untuk diijabkabulkan. Dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19, kami berharap keadaan semakin baik dan tiada masalah untuk aktiviti merentas negeri.

“Bagaimanapun, perancang perkahwinan sangat menitik beratkan soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Tetamu untuk setiap majlis sangat terhad bagi tidak melanggar SOP, malah lokasi pertama hanya 350 tetamu yang dibenarkan,” katanya.

Uqasha berkata, banyak perkara berkaitan persiapan majlis perkahwinan terpaksa diuruskan secara berasingan berikutan jadual kerja yang sangat padat.

“Saya akui, ada kala membuatkan saya tertekan kerana terpaksa menguruskan banyak perkara, apatah lagi, saya dan Kamal terikat dengan jadual penggambaran. Bagi melancarkan persiapan perkahwinan, kami terpaksa menguruskannya secara berasingan.

“Jika saya sibuk, Kamal terpaksa ambil alih urusan persiapan. Tetapi, saya bersyukur Kamal mengikut sahaja kehendak saya untuk majlis impian kami,” katanya yang ditemui selepas program MeleTOP, semalam.

 

Kamal Adli dan Uqasha Senrose pilih pusat peranginan bagi memenuhi konsep taman dan ‘outdoor’ untuk majlis perkahwinan impian. - Foto IG Kamal Adli
Kamal Adli dan Uqasha Senrose pilih pusat peranginan bagi memenuhi konsep taman dan ‘outdoor’ untuk majlis perkahwinan impian. – Foto IG Kamal Adli

 

Berkongsi pemilihan pusat peranginan di tanah tinggi, Uqasha berkata, mereka memilih mengadakan majlis akad nikah di pusat peranginan kerana cuaca dingin yang disifatkan.

“Ia sangat sesuai untuk majlis perkahwinan impian saya dan Kamal berkonsepkan taman dan ‘outdoor’. Saya mahukan sesuatu yang berbeza sebagai momen indah dalam hidup,” katanya.

Bagi Kamal, dia hanya mengikut sahaja keputusan Uqasha kerana ingin menggembirakan hati bakal isterinya.

Katanya, dia teruja melangkah ke alam perkahwinan, namun berharap majlis perkahwinan dipermudahkan terutama dalam berdepan cabaran COVID-19.

“Harapan saya, keadaan COVID-19 semakin reda apabila tiba waktu kami diijabkabulkan. Jadi, tiada masalah untuk tetamu merentas negeri.

“Alhamdulillah, banyak perkara yang saya belajar ketika membuat persiapan perkahwinan. Apapun, saya hanya ingin Uqasha gembira kerana dia mempunyai majlis perkahwinan impian. Apa temanya, biarlah menjadi rahsia terlebih dahulu, insya-Allah kami akan umumkan apabila tiba masanya,” kata Kamal.

Hubungan cinta Kamal dan Uqasha mula berputik selepas digandingkan menerusi drama Setelah Terlafaznya Akad pada 2019, namun tiada sebarang pengesahan dibuat pasangan itu. Kemudiannya, mereka sekali lagi berpasangan menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa pada Oktober, tahun lalu.

Pengarah, Michael Ang ‘memecahkan rahsia’ dalam media sosial memberitahu bahawa Kamal dan Uqasha sudah menghadiri kursus perkahwinan ketika penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa.

Menguatkan spekulasi percintaan apabila Kamal akhirnya melamar Uqasha secara terbuka dalam Anugerah MeleTOP Era 2020, Disember tahun lalu yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat