KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat negara ini menjauhi pemikiran yang disifatkannya sebagai rosak dan terjajah apabila menganggap hubungan baik antara Malaysia dan China khususnya membawa masuk pelaburan bermaksud akan menyebelahi negara itu dalam segala hal.
Perdana Menteri berkata dasar diamalkan kerajaan ketika ini adalah menjalin hubungan baik dengan semua negara khususnya pada yang menyatakan keinginan melabur di Malaysia biarpun wujud persengketaan antara negara itu dengan negara kuasa besar lain.
Katanya, China dianggap sebagai negara penting di rantau ini berikutan kekuatan ekonominya, di samping terbaru mengejutkan dunia dengan pelancaran DeepSeek yang menggoncang industri kecerdasan buatan.
“Di kampung-kampung ada orang bangkitkan (kononnya) kita serah semua kepada China. Ini pemikiran-pemikiran yang rosak.
“Kalau kita dulunya banyak Amerika (Amerika Syarikat) tak apa pula, dengan Eropah tak apa pula. Ini mentaliti terjajah.
“Bagi kita, siapa pun termasuk negara China yang datang melabur, kita berikan galakan. Yang baik dengan kita, kita lebih baik dengan mereka. Ini dasar kita.
“Jangan kita terperangkap dengan fikiran lama iaitu hanya bergantung kepada satu negara. Kita terus baik dengan semua negara, tetapi kalau negara itu ada masalah dengan China, itu masalah dia.
“Kenapa nak jadi masalah kita?” katanya di Ipoh pada Jumaat, lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika ketika berucap merasmikan sambutan Majlis Tahun Baru Cina 2025 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCI).
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Yang Dipertua PCCI, Datuk Liew Chee Ming.
Anwar berkata Malaysia harus memanfaatkan kekuatannnya apabila menjalin hubungan baik dengan China tanpa mengambil kira persengketaan antara negara tembok besar itu dengan AS.
“Sekarang kita teruskan juga dengan pelaburan dari Amerika Syarikat. Kita baiki hubungan kita dengan Kesatuan Eropah. Kita baiki hubungan dengan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dan kita rapat dengan negara China.
“Bila saya lihat, umpamanya beberapa perubahan dalam kecerdasan buatan (AI) yang dahulunya dikatakan dikuasai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat.
“Namun tiga hari lepas, penemuan baharu iaitu DeepSeek daripada negara China mengejutkan dunia tentang keupayaan negara itu.
“Semalam keluar pula lagi dari Alibaba. Maknanya, kekuatan dengan China kita manfaatkan. Sebab itu, saya kata jangan kita terperangkap dengan fikiran lama hanya bergantung kepada satu negara.
Sebaliknya kita terus baik dengan semua negara,” katanya.
Anwar berkata Malaysia akan menerima kunjungan pemimpin beberapa negara yang disifatkannya sebagai ‘pembesar-pembesar dunia’ satu demi satu sehingga bulan depan.
“Sampaikan kita terpaksa atur supaya jangan terlalu banyak kunjungan pada suatu masa. Kita sudah terima kunjungan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang saya minta beliau menjadi penasihat bersama kepada pasukan saya selaku pengerusi ASEAN.
“Kemudian selepas itu, kita ada lawatan daripada Presiden Uzbekistan dan Presiden Turkiye yang akan ke Malaysia sehingga Februari ini.
“Sebab kita perlukan kawan sekarang. Jadi kita tak boleh bergantung seperti dahulu, kita memihak belah sana, belah sini,” katanya.