TON PHEUNG, Laos – Lebih 80 ‘syarikat’ yang didalangi mafia dari China beroperasi secara terbuka mengendalikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian secara besar-besaran di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas (GTSEZ) di Laos.
Perkara itu didedahkan Ketua Unit Pemerdagangan Manusia Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Azirul Syafik Sazali dan katanya, selain rakyat Malaysia ditipu menerusi pelbagai modus operandi melalui media sosial atau aplikasi telefon pintar ada juga warga Malaysia ditipu untuk bekerja sebagai penipu.
“Saya tak kata sebahagian, saya kata semua sindiket yang beroperasi tidak kira di Myanmar, Kemboja, Vietnam, Filipina dan Laos semuanya didalangi warga China yang bermasalah dan mereka ini yang membuka pusat operasi scammer yang menjadikan warga Malaysia sebagai mangsa,” lapor Harian Metro pada Isnin.
Walaupun dalam Laos, GTSEZ dikuasai autoriti lantikan China
“Kenapa mereka memilih Golden Triangle? Kerana kawasan ini di bawah pentadbiran lantikan daripada China, jadi mudah untuk mereka (sindiket) berhubung malah kawasan GTSEZ walaupun terletak di Laos ia dikuasai hampir sepenuhnya oleh autoriti lantikan China.
“Baru-baru ini, pihak berkuasa China membuat sidang media bersama pengerusi GTSEZ kononnya akan membuat operasi besar-besaran bersama pihak berkuasa Laos untuk menyerbu pusat scammer yang beroperasi.
“Malangnya sidang media itu sekadar ‘wayang’ semata-mata kerana hanya sejumlah kecil tali barut sindiket ditahan tetapi masih banyak lagi yang terus beroperasi secara terang-terangan,” lapor akhbar itu.
Menurutnya, boleh dikatakan hampir kesemua mangsa yang ditipu untuk bekerja berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia mengaku tidak sedar bahawa mereka sedang masuk dalam perangkap sindiket sehingga terlambat untuk melarikan diri.
Ramai persoal bagaimana ramai anak muda jadi mangsa
“Pastinya bagi mereka yang cakna perihal isu semasa akan tertanya-tanya mengapa ramai golongan belia sanggup menerima tawaran bekerja di negara yang jauh lebih miskin daripada Malaysia sehingga akhirnya menjadi hamba sindiket penipuan dalam talian,” katanya.
Bagi merungkai persoalan ini wartawan Harian Metro, bersama pengasas Persatuan Kebajikan Ci Ai, Ven Shi Yun De dan pihak MHO bersama-sama pergi membuat tinjauan ke kawasan yang mendapat jolokan sebagai ‘Segi Tiga Emas’ itu kerana kedudukan sempadannya antara tiga negara iaitu Thailand-Laos-Myanmar yang hanya dipisahkan oleh Sungai Mekong.
Tinjauan akhbar itu di sepanjang sempadan di Segi Tiga Emas Laos mendapati sesiapa sahaja boleh merentas sempadan dengan menaiki bot dari pintu masuk dari negara berkenaan untuk ke negara terbabit.
Keadaan ini boleh diumpamakan seperti sempadan Malaysia-Thailand di mana penduduk tempatan hanya perlu menyeberang merentasi Sungai Golok untuk masuk ke negara jiran dengan mudah.