KOTA KINABALU– Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi mendedahkan terdapat pengundi di Sabah yang masih merindui zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN), namun menegaskan parti itu tidak boleh lagi mengulangi pendekatan lama sekiranya mahu kembali meraih kepercayaan rakyat.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata realiti politik hari ini menuntut BN bergerak dengan strategi baharu yang lebih relevan dengan keperluan semasa.
“Ada yang cakap mereka rindukan zaman BN, tapi BN tak boleh bagi macam dulu… brim dan segalanya. Kami sayang BN, tapi BN kena tunjukkan BN hebat sebab berada di pusat,” katanya.
Nurul Amal yang berkampung di Sabah sepanjang kempen PRN turut berkongsi bahawa banyak maklum balas diterima mengenai perbezaan ketara antara politik Sabah dan Semenanjung.
Beliau berkata pengalaman itu menjadi pembelajaran penting kepada kepimpinan Puteri UMNO, terutama dalam memahami sentimen pengundi di negeri tersebut.
Menurutnya, masa depan parti bergantung kepada kesetiaan, kerja berpasukan serta kesediaan ahli untuk berubah dan memperkukuh semula BN.
Selain itu, beliau menyeru agar rakyat Sabah dan Semenanjung tidak mewujudkan jurang sesama sendiri, sebaliknya terus mengukuhkan semangat kebersamaan demi masa depan Malaysia.
“Kami bangga bersama kamu kerana kita dalam satu negara… jangan jadikan ini satu jurang. Membentuk Malaysia ke hadapan memerlukan semua orang bersama,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memohon maaf jika BN masih belum dapat memenuhi sepenuhnya harapan rakyat Sabah, namun menegaskan perjuangan pembaharuan parti sedang giat dilakukan.
“Kami masih lagi berjuang untuk bikin balik Barisan Nasional memayungi semua. Sebab itu kami mahu ajak urang Sabah bersama untuk bina balik Sabah. Demi kita bersama,” katanya.
Hantaran tersebut menarik perhatian warga maya, khususnya penyokong BN yang menghargai kehadiran jentera parti sepanjang kempen PRN Sabah.



