PN dan BN dijangka sertai kerajaan Hajiji?

KOTA KINABALU – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dijangka menyertai kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang hanya mempunyai majoriti tipis 38 kerusi semasa mengangkat sumpah semalam.

Menurut beberapa sumber yang bercakap kepada SuaraTV secara ketanpanamaan, Hajiji berhasrat untuk mengukuhkan kerajaannya dengan menarik semua pihak ketiga yang memenangi pilihan raya negeri semalam.

Kedudukan 38 kerusi berbanding majoriti mudah 37 agak longgar biar pun Hajiji boleh melantik enam orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jika rundingan menjadi kenyataan, Hajiji dijangka mempunyai 45 kerusi berbanding pembangkang 28 – Warisan 25, Star 2 dan KDM 1.

Sumber Pas-PN memberitahu perbincangan ada berlaku namun enggan mendedahkan butiran perbincangan. Difahamkan perbincangan berkisar kepada peruntukan kepada ADUN dan tiada pelantikan wakil GRS sebagai bayangan Adun di Karambunai. Perbincangan kerjasama ini disahkan oleh salah seorang ahli pasukan ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

Manakala sumber BN menyatakan parti tersebut masih berkomunikasi dengan Hajiji walaupun Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar tidak menyetujui kerjasama tersebut. Semalam sebelum mengangkat sumpah Hajiji dikatakan menawarkan kerjasama dengan BN, namun ditolak oleh Bung.

Bagaimanapun beberapa jam kemudian Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan komponen itu sedia untuk bekerjasama dengan parti yang sehaluan bagi membentuk sebuah kerajaan baharu demi kestabilan politik di Sabah. Sejak itu perbincangan dikatakan tidak melibatkan Bung tetapi pimpinan Umno Sabah lain dengan Hajiji.

Setakat ini kerajaan Hajiji didukung oleh Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 29 kerusi; Bebas 5; UPKO 3 dan Pakatan Harapan (PH) 1 kerusi.

Dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 Nov BN hanya menang 6 kerusi manakala PN cuma menang 1 kerusi di DUN Karambunai.

Keputusan rasmi PRN Sabah ke-17 menunjukkan landskap politik negeri terus bersifat berpecah dengan tiada satu gabungan mendominasi secara mutlak.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai blok terbesar dengan 29 kerusi, diikuti rapat oleh Parti Warisan yang memperoleh 25 kerusi, mengekalkan kedudukan sebagai pesaing utama dalam percaturan kuasa negeri.

BN pula menang 6 kerusi, manakala UPKO mencatatkan kebangkitan kecil dengan 3 kerusi. Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memperoleh 2 kerusi.

Selain itu, keputusan kali ini turut menonjolkan fenomena calon Bebas yang semakin berpengaruh apabila berjaya memenangi 5 kerusi.

Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti KDM masing-masing hanya memperoleh satu kerusi.

Keputusan ini secara keseluruhan menggambarkan persaingan sengit dan kebergantungan kepada gabungan pasca-pilihan raya untuk membentuk kerajaan negeri, sekali gus menandakan era politik Sabah yang terus dinamik dan sukar diramal.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat