KOTA KINABALU – Kerajaan Madani menghormati sepenuhnya mesej tegas dan jelas yang telah dilontarkan para pengundi di Sabah, bahawa mereka menuntut perubahan yang nyata setelah sekian lama dihadapkan dengan ketidakadilan dan pengabaian oleh hampir semua parti sama ada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas mandat baharu pembentukan Kerajaan Negeri.
“Alhamdulillah, dalam 3 tahun yang lalu, kami berusaha merungkai setiap isu yang diwarisi, termasuk soal tuntutan dan hak yang menyentuh kepentingan Sabah.
“Dalam tempoh singkat ini, beberapa kemajuan yang nyata telah dicapai berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” kata Perdana Menteri dalam kenyataan pada Ahad.
Justeru itu, Anwar berkata Kerajaan Madani akan terus konsisten di jalur pembaharuan ini sebagai usaha dan upaya kita melahirkan sebuah Sabah yang adil, saksama, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.
“Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung dengan sikap pertanggungjawaban yang tinggi,” tegas Anwar.



