RUU Kawalan Produk Rokok diluluskan, GEG kalau ada keperluan nanti akan dibawa semula – Dr Zaliha

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di peringkat dasar, selepas ia mendapat sokongan majoriti ahli melalui undian suara.

Ia merupakan versi ketiga yang dibentangkan di Dewan Rakyat selepas berlaku beberapa pindaan sebelum ini, termasuk menggantikan klausa melarang orang yang lahir selepas tahun 2007 melakukan aktiviti merokok, dengan terma orang belum dewasa (OBD).

Terdahulu Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sewaktu menggulung RUU berkenaan berkata, beliau memahami pandangan dan kegusaran berkenaan pengguguran klausa yang disebut Generational End Game (GEG).

“Penggguguran (klausa) ini merupakan satu keputusan secara kolektif, tanggungjawab bersama Kerajaan, merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC), ada isu ketidaksamarataan atau diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, yang beri layanan berbeza seorang lahir sebelum 1 Jan 2007, dan lahir selepas itu.

“Oleh itu AGC berpandangan peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah, bercanggah perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun betul Ahli Parlimen yang gubal undang-undang, namun pendapat dan nasihat AGC harus diambil kira dalam penggubalan mana-mana undang-undang supaya tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada, terutamanya Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Sebelum ini Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata, peruntukan berkenaan GEG dalam RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, boleh dicabar di mahkamah.

Susulan kenyataan tersebut, Dr Zaliha telah menarik semula RUU tersebut pada 28 Nov lepas, sebelum versi baharu dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

Dalam penggulungannya, beliau berkata, KKM telah membuat tindakan susulan kenyataan AGC, kerana ia dianggap sangat penting untuk menutup kelompangan, bagi memastikan kawal selia komprehensif terhadap semua produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape, dan menjadi keutamaan untuk diluluskan segera.

“Berkaitan GEG , ada pandangan dan sedikit pertikaian. Kita akan lihat selepas daripada penguatkuasaan (RUU) ini nanti. Kita akan terus memantau apa kesan RUU ini terhadap penurunan prevalens merokok dan sebagainya. Insya-Allah jika ada keperluan kita akan bawa kembali isu GEG ini,” katanya.

Semalam, peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Berdasarkan RUU sebelum ini, yang lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) dan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan itu yang dikenakan terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Ia merangkumi Perkara 13, 14, 18 dan 19, iaitu larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Di bawah RUU baharu yang dibentangkan hari ini, di bawah Perkara 17 (1) larangan merokok dan menggunakan produk tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat