PM, MB Perlu Galas Tanggungjawab Berasaskan Rukun Negara – Majlis Raja-Raja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Majis Raja-Raja menyeru agar Perdana Menteri dan Menteri Besar di setiap negeri memikul tanggungjawab dan menggalas peranan besar berasaskan prinsip digariskan dalam Rukun Negara.

Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah kerajaan baharu perlu mendukung dan memperkukuh prinsip-prinsip Rukun Negara yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong Keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin pada 1970.

Titah Tuanku Muhriz, semangat dan nilai-nilai prinsip Rukun Negara hendaklah seharusnya menjadi amalan serta pegangan semua rakyat dan bukan sekadar tulisan dalam bahan bacaan sahaja.

Sehubungan itu, Baginda mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis bersesuaian yang diketuai pemimpin dilantik dan bukan lagi dalam kalangan belia bersuara lantang.

“Ini akan membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia,” demikian menurut titah perutusan Tuanku Muhriz sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang berlangsung di Istana Negara, hari ini

Terdahulu, Tuanku Muhriz mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung selama dua hari, bermula semalam.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja dan Sultan negeri-negeri turut berkenan berangkat hadir pada mesyuarat itu, yang juga dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Tuanku Muhriz turut menyeru kerajaan baharu memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya.

“Beta berharap supaya tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.

“Beta turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap lebih tinggi,” titah Baginda.

Selain itu, Tuanku Muhriz bertitah dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang amat penting untuk memastikan agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman, bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat