PENA sokong gesaan PM penggunaan bahasa Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis Nasional (PENA) menyokong sepenuhnya gesaan Perdana Menteri supaya semua agensi atau syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan rasmi tidak seharusnya dipandang ringan oleh semua pihak.

Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tegas menyatakan sokongan penuh gesaan tersebut, malahan menuntut agar penguatkuasaan dilakukan terhadap semua pihak tanpa kompromi, terutama dalam urusan rasmi.

Kata beliau, bukan sahaja syarikat milik kerajaan, malahan agensi kerajaan, termasuk institusi pengajian tinggi awam pun mesti menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan semua mesyuarat dalaman.

Mohamad Saleeh menambah, kini pengabaian terhadap bahasa Melayu oleh pihak-pihak berkenaan sudah berleluasa, seolah-olah bahasa Melayu tidak ada nilainya lagi sedangkan pekeliling kerajaan sedia menyatakan kewajipan tersebut.

“Oleh itu, PENA menggesa Ketua Setiausaha Negara mengulangi arahan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu melalui surat pekeliling rasmi.

“Audit Bahasa yang pernah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini tampak tidak berkesan kerana tidak disusuli tindakan yang sewajarnya. Tiada pihak yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan hukuman terhadap pihak yang mengabaikan arahan tersebut,” ujar beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Sepatutnya kata beliau, hasil daripada pemantauan audit bahasa disusuli tindakan agar usaha tersebut tidak berlalu sia-sia.

Di samping itu, Mohamad Saleeh berkata, PENA juga berharap agar usaha pemerkasaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa dilakukan dengan lebih giat.

“Pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu di luar negara juga hendaklah dilaksanakan dengan lebih gigih oleh DBP yang berada di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui pelbagai program yang dirancang secara bersama.

“PENA juga berharap agar Kementerian Pengajian Tinggi menguatkuasakan pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar dan tenaga akademik asing di universiti awam, bukan sekadar mewajibkan pengambilan kursus bahkan perlu memastikan mereka boleh menguasai bahasa Melayu.

“Langkah ini akan menjadikan bahasa Melayu mendapat nilai ekonominya apabila semua pihak mahu mempelajarinya dan kemudian mereka menjadi duta bahasa Melayu apabila kembali ke negara masing-masing,” ujarnya.

Hal demikian,PENA berharap kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Yaakob bersikap serius terhadap perkara ini memandangkan bahasa Melayu yang sudah termaktub kedaulatannya dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan semakin merosot nilainya di mata rakyat negara ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat