Ketua Polis Negara diarah fail pembelaan kes saman guru tadika

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain mengemukakan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman seorang guru tadika, M Indira Gandhi yang sejak 11 tahun lalu tidak bertemu anak bongsunya selepas dilarikan bekas suami yang memeluk Islam.

Indira Gandhi memfailkan saman itu selepas mendakwa KPN dan tiga defendan lain gagal melaksanakan perintah mahkamah untuk menangkap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dan mengembalikan anaknya, Prasana Diksa yang kini berusia 12 tahun.

Dalam prosiding pengurusan kes melalui e-review (atas talian) hari ini, mahkamah memerintahkan KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan, memfailkan pernyataan pembelaan mereka sebelum atau pada 2 Disember ini.

Peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira Gandhi ketika dihubungi media, berkata anak guamnya pula diperintahkan memfailkan balasan sebelum atau pada 16 Disember ini.

Beliau berkata, prosiding e-review itu membabitkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Idamasliza Maarof, Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar yang mewakili semua defendan dan beliau selaku peguam plaintif.

Katanya, mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes pada 30 Disember ini.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, plaintif berkata, suaminya memeluk Islam pada 11 Mac 2019 dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka, selain mendapat hak penjagaan semua kanak-kanak terbabit daripada Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 September 2009.

Indira kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil di Ipoh bagi mendapatkan hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka, yang kemudian dibenarkan pada 11 Mac 2010, bagaimanapun anak bongsu, Prasana Diksa diambil secara paksa oleh suaminya.

Plaintif berkata, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Muhammad Riduan dipenjarakan sehinggalah beliau memulangkan Prasana kepadanya.

Katanya, mereka bercerai pada 8 Ogos 2012.

Pada masa sama, plaintif memfailkan permohonan semakan kehakiman supaya KPN menguatkuasan perintah komital (menghina mahkamah) terhadap bekas suaminya kerana tidak mengembalikan Prasana.

Menurut plaintif lagi, Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016 membenarkan rayuannya dan memutuskan supaya Muhammad Riduan perlu ditangkap dan waran komital perlu dilaksanakan ke atasnya.

Plaintif sehubungan itu berkata, KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah Mahkamah Persekutuan dengan gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan semula Prasana Diksa kepadanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat