Kanak-kanak, remaja tidak diberi vaksin COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah serta individu yang mempunyai masalah sistem imun tidak akan diberikan vaksin COVID-19.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, berkata dua kumpulan itu adalah 30 peratus daripada jumlah populasi rakyat Malaysia yang tidak akan divaksin, sebaliknya akan terlindung daripada wabak COVID-19 menerusi imuniti kelompok.

“Sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat perlu divaksinkan bagi mencapai imuniti kelompok (herd immunity).

“Imuniti kelompok bermaksud baki 30 peratus rakyat bakal turut terlindung jika 70 peratus rakyat mempunyai perlindungan vaksin COVID-19.

“Jumlah 30 peratus yang tidak akan divaksinkan adalah kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dan mereka yang mempunyai masalah sistem imun, yang tidak sesuai menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Amzad berkata, baki 30 peratus rakyat itu boleh memilih untuk mendapatkan sendiri suntikan vaksin di hospital swasta, dengan pengecualian cukai untuk kos vaksin itu diberikan sehingga RM1,000 seorang.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan sejumlah 70 peratus rakyat Malaysia akan menerima vaksin secara percuma seawal suku pertama tahun hadapan.

Daripada jumlah itu, katanya, 20 peratus atau 6.4 juta rakyat akan menerima 12.8 juta dos vaksin yang dibekalkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer, manakala 10 peratus rakyat akan dibekalkan vaksin menerusi inisiatif pelan akses global vaksin (COVAX).

“Untuk baki 40 peratus. kerajaan sedang berunding dengan pembekal seperti Sputnik V, Moderna, Astrazeneca dan lain-lain, namun hanya Pfizer menyatakan komitmen boleh menghantar vaksin pada suku pertama 2021 setakat ini, manakala pembekal lain perlu menunggu sehingga suku ke empat,” katanya.

Jelasnya, keutamaan pemvaksinan COVID-19 di Malaysia akan diberikan kepada kumpulan barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan anggota keselamatan, selain golongan berisiko seperti warga emas.

Selain itu, katanya, semua vaksin COVID-19yang akan diberikan kepada rakyat Malaysia perlu diluluskan badan kawal selia diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS dan Kesatuan Eropah (EU), selain perlu dinilai serta diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semua 12 vaksin COVID-19 yang berada di fasa 3 ujian klinikal telah diuji pada 20,000 hingga 90,000 orang sukarelawan pelbagai negara di seluruh dunia termasuk rantau ASEAN.

“Tidak benar dakyah kononnya vaksin ini hanya diuji kepada monyet dan tikus. Semua calon vaksin COVID-19 yang dinilai oleh Malaysia mempunyai laporan keberkesanan 90 peratus ke atas,” katanya.

Tegasnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga membantu dalam aspek pencarian vaksin yang diharuskan menurut hukum syarak dan berdasarkan maklumat sedia ada, semua vaksin COVID-19 tidak mengandungi kandungan berunsur porcine (babi) atau bovine (lembu).

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat