KUALA LUMPUR – Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab untuk mengambil langkah munasabah bagi memastikan sama ada dana dimasukkan ke dalam akaunnya adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Ketika membacakan penghakiman melalui keputusan di akhir kes pendakwaan beliau berkata, ia memandangkan jumlah dana yang sangat besar yang didepositkan iaitu, AS$681 juta ke dalam akaunnya dan jumlah yang dikembalikan sebanyak AS$620 juta.
Sequerah berkata, kelakuan dan perbuatan menerima, menggunakan dan memindahkan hasil oleh Najib adalah relevan mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan 1950.
“Oleh itu, adalah boleh diterima untuk menyimpulkan secara munasabah dan wajar, bahawa pengetahuan tertuduh berkenaan semua 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
“Dalam semua keadaan, saya dapati tertuduh juga “sengaja membutakan mata” mengenai kegagalannya untuk menyiasat asal usul dana ini yang mana dalam keadaan sedemikian rupa dia sepatutnya berbuat demikian.
“Di bawah keadaan dan berdasarkan keterangan, saya mendapati bahawa pihak pendakwaan membuktikan mens rea berkenaan dengan semua tuduhan pengubahan wang haram,” katanya lapor BH pada Rabu.
Sequerah berkata, keterangan saksi, termasuk pemegang mandat akaun Najib, menunjukkan pembabitan tertuduh dalam menguruskan akaun bank miliknya.
Keterangan daripada saksi pegawai bank juga menunjukkan tertuduh tidak pernah membangkitkan sebarang pertanyaan mengenai dana yang dimasukkan ke dalam akaunnya sejak empat tahun lalu.
Dalam memutuskan Najib perlu membela diri terhadap tuduhan menyalahgunakan kedudukan, Sequerah mengambil maklum bahawa wang yang diperoleh 1MDB daripada pinjaman digunakan bukan untuk kepentingan kerajaan atau negara, sebaliknya ia pergi kepada tertuduh.
Terdapat sejumlah wang dijana daripada 1MDB yang masuk ke dalam akaun tertuduh dan berkaitan dengan faedahnya sendiri.
Hakim itu berkata, ia menunjukkan bahawa Najib mempunyai kepentingan dalam 1MDB.
Katanya, 1MDB membuat pinjaman, yang tidak membawa manfaat kepada kerajaan dan negara, oleh itu mahkamah ini tidak melihat sebarang merit dalam pernyataan pembelaan tertuduh, yang direkodkan dalam kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sequerah berkata, apabila seseorang tertuduh didakwa di bawah Akta SPRM, dia dikehendaki mengemukakan pembelaannya sebelum perbicaraan untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.
Sementara itu, Sequerah juga menyatakan bahawa ketika skandal 1MDB didedahkan pada tahun 2015, Najib telah memecat Peguam Negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail sekali gus Pasukan Petugas Khas dibubarkan manakala bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed tidak meneruskan perkhidmatan.
Katanya, Najib juga menggantikan Abdul Gani dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara, yang kemudiannya membebaskan Najib daripada siasatan, dan hanya disambung semula pada tahun 2018, selepas Najib (dan Barisan Nasional serta UMNO) kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum 2018.
Sequerah juga menyatakan keterangan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Effendi Nazaruddin bahawa 1MDB ditubuhkan untuk kepentingan BN dan Umno.
“Dana yang diperoleh daripada 1MDB digunakan untuk tujuan politik, …dana itu tidak boleh diperoleh melalui tindakan positif Najib jika bukan kerana kepentingannya dalam 1MDB.
“Aliran jejak wang daripada PetroSaudi International Ltd (PSI)(syarikat usaha sama 1MDB, bon terbitan Goldman Sachs dan Aabar Investment PJS yang diperoleh 1MDB telah memasuki akaun bank peribadi tertuduh untuk mewajarkan mahkamah memanggil beliau membela diri.
“Tanpa pembabitan tertuduh sebagai menteri kewangan dan perdana menteri, usaha sama dengan PSI dan urus niaga lain tidak akan berjaya,” katanya.