KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini melelong jam tangan Rolex pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud sebanyak RM40,000.
Dr Zulkifli berkata, hasil bidaan jam itu akan disalurkan sepenuhnya kepada kebajikan rakyat Palestin.
“Menjunjung kasih DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz atas derma kurnia yang amat bermakna ini. Titah baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati.
“Dengan menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan billion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000. Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana.
“Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen,” catat beliau di Facebook pada Isnin.
Sementara itu, beliau berkongsi kisah bermula pada Februari 2017 apabila beliau mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.
“Saya diminta oleh Kerajaan Malaysia selaku Mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua para mufti dan para ulama Malaysia, menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz hafizahullahu ta’ala dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.
“Beberapa hari selepas majlis berkenaan di St. Regis Hotel, saya dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia. Ada cenderamata yang dikirimkan daripada Raja Saudi kepada saya. Lantas saya minta pegawai saya Dr. Aizam untuk mengambilnya.
“Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut. Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri. Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.
“Apabila saya meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya. Di sana, barulah saya membukanya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi,” katanya.