Akmal cadang PM hantar 12 wakil rakyat PKR ke misi kemanusiaan Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno mencadangkan Perdana Menteri untuk menghantar 12 orang wakil rakyat menyertai misi kemanusiaan di Palestin agar mereka dapat tahu dengan lebih jelas tentang isu yang berlaku di sana jika masih lagi tidak memahami apa yang berlaku.

Dr Akmal Saleh menegaskan program Solidariti Palestin di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya bertujuan mendidik murid-murid agar dapat memahami dan menjiwai konflik Palestin-Israel dan sewajarnya diteruskan.

“Pemuda Umno menyokong penuh KPM untuk menganjurkan program Solidariti Palestin di sekolah dan tidak perlu dibatalkan.
Modul mengenai isu sebenar yang berlaku di Palestin dan sejarah bagaimana konflik Palestin-Israel ini perlu dididik kepada murid-murid agar mereka dapat memahami dan menjiwai isu ini dengan sebenar-benarnya.

“Kefahaman ini penting supaya generasi baru Malaysia mempunyai literasi yang tuntas bagaimana rakyat Palestin ditindas dan dizalimi , apakah puncanya, siapa dan institusi mana yang terlibat, apa tindakan bantuan yang boleh dilakukan. Ia membina kesedaran dan semangat solidariti dalam diri mereka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas Dr Akmal, ini bukan soal unsur keganasan dan elemen dendam seperti yang dinyatakan oleh 12 wakil rakyat ini.

Kata beliau, ia banyak berkait soal bagaimana kita boleh tingkatkan kesedaran secara terpimpin terhadap konflik Palestin-Israel. KPM wajar terus laksanakan.

“Saya juga ingin mencadangkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menghantar 12 orang wakil rakyat ini ke misi kemanusiaan di Palestin agar mereka dapat tahu dengan lebih jelas tentang isu yang berlaku di sana jika masih lagi tidak memahami apa yang berlaku.

“Pemuda Umno sekali lagi ingin menyokong kementerian Pendidikan Malaysia sepenuhnya untuk terus menjalankan program solidariti Palestin di sekolah-sekolah,” tegasnya.

Pada 28 Oktober lalu media melaporkan, ahli Parlimen serta ADUN PKR menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam bermula Ahad.

Dalam satu kenyataan bersama itu, mereka menjelaskan keputusan mengadakan program sedemikian patut dikaji semula supaya sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur kedendaman dan keganasan.

“Kami difahamkan tujuan KPM untuk mendidik pelajar mengenai nilai manusiawi, hak asasi manusia dan keprihatinan terhadap penderitaan.

“Namun adalah sukar bagi KPM untuk memantau program Solidariti Palestin itu mencapai matlamatnya tanpa menyebar rasa kedendaman dan keganasan,” katanya.

Selain Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, kenyataan bersama itu juga turut disertai Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man; ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; ADUN Rawang, Chua Wei Kiat; ADUN Semambu, Chan Chun Kuang dan ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi.

Selain itu, ADUN Chuah, Yew Boon Lye; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Kajang, David Cheong Kian Yong; ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern serta ADUN Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai.

Mengulas lanjut, mereka juga memohon KPM untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi garis panduan KPM serta memprovokasikan keganasan dengan senjata mainan di sekolah.

“Kami juga beranggapan bahawa tindakan membawa isu konflik antarabangsa ke sekolah adalah tidak wajar dan harus dikaji semula.

“Kerajaan dan rakyat kita perlu mengekalkan akal fikiran yang rasional sementara menyokong perjuangan Palestin dan jangan sesekali menbangkitkan isu kedendaman dan keganasan dalam institusi awam,” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semalam memaklumkan program membabitkan replika senjata mainan di sebuah sekolah yang sedang tular tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, program berkenaan juga tidak termasuk dalam pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin yang dijadual bermula 29 Oktober hingga 3 November ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat