Tur SAMA SAMA: Pentas lolaborasi paling dinanti, Kuala Lumpur jadi saksi penyatuan suara Nusantara

Apakah yang akan terjadi apabila lima figura dengan latar belakang berbeza, gaya muzik berbeza, dan generasi berbeza, memilih untuk berdiri di atas satu pentas? Jawapannya ialah Tur SAMA SAMA  sebuah persembahan muzik berskala besar yang bakal menjadikan Idea Live Arena, Kuala Lumpur sebagai destinasi penting pada 5 Disember 2025.

Konsert ini bukan sekadar pertemuan lima artis, tetapi sebuah projek budaya yang merayakan persaudaraan muzik Nusantara.

Selepas menutup rangkaian konsert di Bogor pada Mei lalu, Tulus sempat berbisik kepada ribuan peminat yang hadir: “Khabar baiknya adalah kami akan melanjutkan perjalanan. Kita bakal pergi ke Malaysia.”

Kini, kata-kata itu menjadi nyata. Kuala Lumpur akan menjadi kota kelima dalam siri tur selepas Bandung, Surabaya, Yogyakarta, dan Bogor. Bagi peminat Malaysia, ia adalah satu berita yang menggembirakan  kerana jarang sekali sebuah kolaborasi sebesar ini sampai ke sini.

Tulus tidak dapat dinafikan, Tulus ialah wajah paling dikenali dalam barisan ini. Dengan suara hangat dan penulisan lirik yang menyentuh jiwa, beliau sering menjadi peneman setia peminat dalam detik suka dan duka. Lagu-lagu seperti Monokrom dan Hati-Hati di Jalan sudah sebati dalam hati ramai, termasuk penonton Malaysia.

Kunto Aji sosok yang lahir daripada pertandingan bakat ini kini dianggap antara pemuzik paling berani bereksperimen dengan tema emosi dan psikologi. Album Mantra Mantra misalnya, menjadi fenomena kerana menyentuh isu kesihatan mental secara jujur.

Sal Priadi seorang penyair di pentas muzik, Sal Priadi dikenali dengan lirik yang dramatik, ekspresi penuh tenaga, dan persembahan bertenaga. Setiap lagunya seperti sebuah teater kecil, membawa penonton ke dalam cerita yang beliau ciptakan.

Dere muda, segar, dan intim itulah karakter Dere. Kemunculannya membuktikan bahawa generasi baharu pemuzik Indonesia tidak takut menampilkan kelembutan dan kejujuran dalam karya. Suaranya yang lembut sering digambarkan sebagai “suara yang menenangkan resah.”

Idgitaf ialah suara generasi Z. Dengan keberanian mengeksperimen gaya pop alternatif dan kejujuran yang polos, dia membawa sudut pandang yang segar. Lagu-lagunya sering dirasakan dekat oleh anak muda kerana penuh dengan kejujuran tanpa hiasan.

Tur SAMA SAMA dirancang bukan sebagai siri showcase individu, tetapi sebagai pentas interaksi. Penonton tidak hanya akan mendengar Tulus menyanyikan lagunya sendiri atau Idgitaf membawakan single hitsnya.

Sebaliknya, mereka akan saling bertukar karya, mencipta harmoni baharu, malah mungkin membawakan lagu dalam susunan muzik yang sama sekali berbeza daripada versi asal.

Contohnya, bagaimana agaknya kalau Kunto Aji menyanyikan lagu Tulus, atau Dere dan Sal Priadi bergabung dalam sebuah duet? Semua itu dicipta khas untuk tur ini  dan tidak akan ditemui di mana-mana pentas lain.

Mengapa Kuala Lumpur dipilih? Jawapannya jelas: Malaysia ialah salah satu negara dengan jumlah peminat muzik Indonesia terbesar di luar republik itu.

Sejak dahulu, karya artis Indonesia kerap mendominasi carta radio dan aplikasi penstriman di Malaysia. Lagu Tulus dan Kunto Aji, misalnya, sering menjadi pilihan dalam acara-acara sosial, manakala karya Dere, Idgitaf, dan Sal Priadi semakin mendapat tempat di hati generasi muda tempatan.

Kehadiran mereka berlima di Idea Live Arena bukan sahaja sebuah konsert, tetapi simbol hubungan erat dua bangsa serumpun yang dihubungkan oleh bahasa dan muzik.

Ketika diadakan di empat kota Indonesia, Tur SAMA SAMA mencatatkan sambutan luar biasa. Tiket habis terjual, penonton pulang dengan perasaan puas dan terharu, serta media hiburan menyebutnya sebagai salah satu tur kolaborasi paling berjaya tahun ini.

Kejayaan itu menjadi alasan kukuh mengapa Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi berikutnya. Ada keyakinan bahawa peminat Malaysia akan memberi sambutan yang sama hangatnya.

Secara tradisi, dunia hiburan sering memperlihatkan artis bersaing untuk perhatian. Namun, Tur SAMA SAMA menawarkan naratif yang berbeza  kerjasama lebih kuat daripada persaingan.

Kolaborasi ini memperlihatkan bagaimana artis dengan gaya dan audiens yang berbeza dapat bergabung untuk mencipta pengalaman unik. Ia juga membuka jalan bagi projek serupa di masa depan, bukan hanya antara artis Indonesia, tetapi juga dengan artis Malaysia.

Bayangkan jika selepas ini wujud SAMA SAMA versi Nusantara yang menyatukan artis Malaysia–Indonesia dalam satu pentas.

Bagi peminat di Malaysia, Tur SAMA SAMA adalah peluang istimewa yang sukar dilepaskan. Pertama sekali, ia merupakan kesempatan untuk menyaksikan idola mereka dalam susunan muzik baharu. Bayangkan bagaimana sebuah lagu yang biasa didengar melalui radio atau penstriman, tiba-tiba dibawakan dengan harmoni berlainan, bahkan mungkin dengan sentuhan lima suara sekaligus.

Selain itu, konsert ini juga menjadi ruang untuk mengalami pertemuan budaya serantau secara langsung. Tidak ada jarak antara artis Indonesia dan penonton Malaysia pada malam itu; sebaliknya, mereka sama-sama merayakan muzik dalam bahasa dan rasa yang dekat di hati.

Lebih daripada itu, bagi ramai penonton, hadir ke Tur SAMA SAMA akan menjadi sebuah catatan sejarah peribadi. Pengalaman sebegini jarang hadir, apatah lagi melibatkan lima nama besar yang berkolaborasi dalam satu persembahan eksklusif. Ramai sudah menantikan momen di mana lagu-lagu popular seperti Adu Rayu atau Ruang Sendiri dibawakan dengan harmoni lima suara secara serentak  sesuatu yang mustahil ditemui di pentas lain.

Dengan harga bermula RM228, tiket telah dibuka sejak 29 September 2025 melalui BBO Events dan samasamatur.com. Sebanyak 11 kategori ditawarkan, termasuk Bronze, Silver, Gold, Diamond, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra, dan Group Suite.

Konsert ini dibawakan oleh Expoindo, Thrive, dan Tiga Dua Satu, dengan sokongan strategik daripada Tourism Malaysia, bank rasmi myBCA, radio rasmi ERA, Sinar, THR Gegar, dan rakan digital rasmi Astro Gempak.

Dalam dunia yang sering memuja individualisme, Tur SAMA SAMA hadir sebagai penawar sebuah ruang yang meraikan kebersamaan, persaudaraan, dan keberanian untuk berbagi pentas.

Pada 5 Disember 2025, Idea Live Arena akan menjadi saksi bagaimana lima suara berbeza berpadu untuk mencipta sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.

Seperti kata Sal Priadi:

“Selamat menikmati format dinamik dari solo, duet, trio, hingga kuintet kami.”

Dan bagi peminat Malaysia, inilah peluang sekali seumur hidup. Jangan sekadar mendengar cerita selepas ia berakhir  jadilah sebahagian daripada sejarah muzik Nusantara ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat