Kerja Baik Pulih Seri Perdana Selepas Dapat Laporan Kerosakan Daripada JPM – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjelaskan bahawa kerja baik pulih Kompleks Seri Perdana di Putrajaya yang telah diluluskan semasa pentadbirannya sebagai perdana menteri adalah selepas mendapat laporan kerosakan fizikal daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata kerosakan melibatkan kebocoran bumbung bangunan dan sistem perpaipan, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai yang usang.

Kerosakan bumbung kompleks dan sistem perpaipan juga telah menyebabkan kerosakan kepada perabot terbina dalam, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti pendingin hawa juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang.

“Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Kompleks berkenaan yang kini dalam proses baik pulih bermula pada 29 Mac dan dijangka siap pada 7 Dis tahun ini, adalah kediaman rasmi Perdana Menteri yang dibina pada 1997 dan siap sepenuhnya pada 1999.

“Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut menegaskan beliau tidak pernah menduduki kediaman rasmi berkenaan sepanjang memegang jawatan perdana menteri.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dipetik sebagai berkata kerja-kerja baik pulih Kompleks Seri Perdana dengan kos keseluruhan RM38.5 juta, termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan atap bangunan itu yang bocor telah diluluskan pada 19 Mac lepas. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat