KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melantik syarikat swasta untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan KD Pendekar yang tenggelam di dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusup, Kota Tinggi selepas mengalami kebocoran, Ahad lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, ketika ini kerja awalan sudah dilakukan termasuk kenal pasti serta memastikan peralatan di dalam kapal itu berada dalam keadaan baik serta tidak hilang.
“Jadi itulah yang dilakukan ketika ini namun pada kebiasaannya, TLDM akan melantik pihak luar atau swasta untuk melakukan kerja salvaj.
“Usaha-usaha awal adalah hendak memastikan dan mungkin menyiasat semua peralatan atau pun maklumat supaya semuanya dalam keadaan baik.
“Kita nak pastikan apa juga barangan, maklumat penting yang ada dalam KD Pendekar selamat dan tidak hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program e-Perkasa SPM, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta sumbangan komputer riba kepada anak anggota ATM di Kem Mahkota Kluang pada Jumaat, lapor Harian Metro.
Dalam pada itu, Khaled berkata, Kementerian Pertahanan menjangkakan laporan lengkap mengenai kebocoran KD Pendekar mengambil masa kira-kira sebulan.
Katanya, sehingga kini kementerian itu belum menerima sebarang laporan berhubung punca sebenar insiden berlaku ke atas KD Pendekar.
Pada 25 Ogos lalu, TLDM mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran ketika sedang melaksanakan penugasan operasi.
Kebocoran KD Pendekar dikesan pada 12 tengah hari dipercayai berpunca kapal terbabit terlanggar objek bawah air.
Ia mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan tidak terkawal namun semua 39 kru berjaya diselamatkan selepas usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.
Beberapa hari selepas itu, seorang Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih.
Berikutan itu, Lembaga Siasatan Khas TDLM ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.