KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berharap Kementerian Ekonomi dapat menyokong pembangunan sektor pertanian melalui dasar dan inisiatif yang sesuai dalam usaha memajukan sektor pertanian negara dan memastikan bekalan makanan yang mencukupi serta terjamin.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan dalam pertemuannya bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membincangkan langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pertanian Malaysia serta strategi untuk memperkukuh kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Kementerian Ekonomi.
“Menerima kunjungan hormat dari Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Wisma Tani, Putrajaya pagi ini. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu pertanian yang terkait dengan ekonomi negara.
“Antara perkara yang disentuh dalam pertemuan pagi ini adalah berkait dengan langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pertanian Malaysia serta strategi untuk memperkukuh kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Kementerian Ekonomi.
“Isu-isu semasa yang mempengaruhi sektor pertanian dan cabaran rantaian bekalan turut disentuh dan saya amat berharap Kementerian Ekonomi dapat menyokong pembangunan sektor pertanian melalui dasar dan inisiatif yang sesuai dalam usaha memajukan sektor pertanian negara dan memastikan bekalan makanan yang mencukupi serta terjamin,” katanya pada Jumaat.
Menurut beliau, pertemuan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan sektor pertanian terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara.