Tukar nama Laut China Selatan kepada Laut ASEAN – Exco Pemuda Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri perlu mengeluarkan nota bantahan rasmi dan menggesa agar kementerian di China memperbetul keadaan ataupun Malaysia dan ASEAN perlu bersatu menukar nama Laut China Selatan kepada Laut ASEAN.

Cadangan itu dikemukakan Exco Pemuda Umno, Ahmad Zaim Ahmad Tawfek.

Ini susulan konflik perebutan wilayah di Laut China Selatan apabila China dilapor mengeluarkan peta standard edisi 2023 turut meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak serta beberapa kawasan di India didakwa milik negara berkenaan.

Peta dikeluarkan Kementerian Sumber Asli China itu turut menggabungkan kawasan dipertikaikan termasuk tuntutannya ke atas Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin dan Taiwan, selain membabitkan kawasan maritim Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Borneo, Brunei, Filipina, Indonesia serta Vietnam.

“Walaupun kenyataan tegas oleh Menteri Pertahanan dengan komitmen untuk mempertahankan sempadan dan meningkatkan perolehan aset ketenteraan, namun tindakan terbaru Kementerian di China menerbitkan peta yang mengajar rakyat China bahawa sempadan laut di Sabah dan Sarawak ialah milik China ialah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh ‘sahahat karib’ Malaysia.

“China perlu menyedari bahawa tangan persahabatan Malaysia yang dimulakan oleh Allahyarham Presiden Umno dan Perdana Menteri Tun Razak Hussein sebagai salah satu negara terawal yang bersahabat dengan China , yang meneruskan tradisi kerajaan negeri Melaka dan China sejak kurun ke 14 dan 15 sewajarnya dibalas dengan perasaan saling menghormati. Bukannya susu dibalas tuba.

“Wisma Putra perlu mengeluarkan nota bantahan rasmi dan menggesa agar kementerian di China membetulkan keadaan ataupun Malaysia dan ASEAN perlu bersatu menukar nama Laut China Selatan kepada Laut ASEAN,” tegas Zaim dalam kenyataan pada Rabu.

Malah beliau turut mengutip beberapa insiden yang berlaku antaranya, baru-baru ini dunia dikejutkan dengan pengharaman filem Barbie terbitan Hollywood yang menampilkan peta membenarkan tuntutan China ke atas wilayah maritim mereka.

“Terbaru, Filipina dan agensi penguatkuasaan maritim mereka ‘diserang’ dengan meriam air (water canon) oleh pihak berkuasa China.

“Malaysia juga tidak akan terlepas susulan rondaan kapal-kapal ‘penyelidikan’ China di kawasan ZEE Malaysia di Laut China Selatan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat