Waspada Musuh Dalam Selimut Pecah Belah Perpaduan Rakyat, Gugat Kestabilan Negara – Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap musuh dalam selimut yang boleh memecah belahkan perpaduan rakyat dan menggugat kestabilan negara.

Dalam kenyataan Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda bertitah segala fitnah dan hasutan mereka adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara yang merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan yang kukuh.

Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum merupakan kunci untuk keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

“la juga merupakan kunci kepada kekuatan bagi menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.

“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda bertitah adalah menjadi tanggungjawab bersama dalam bukan sahaja memelihara dan mempertahankan keharmonian yang telah kita kecapi selama ini, malah menyemarakkannya lagi sesama kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya sempena ucapan Hari Kebangsaan ke-65 pada Selasa.

Bahkan, ujar beliau Yang di-Pertuan Agong juga berpandangan bahawa sekiranya rakyat bersatu dan tahu peranan masing-masing serta berpegang teguh kepada kunci tersebut, maka kita akan mampu membendung segelintir golongan yang bersikap atau bersifat ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi.

Tambah beliau, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-65 tahun, perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara yang kita cintai bersama ini.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat mengimbau kembali lebih enam dekad yang lalu di mana semangat patriotisme dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat sekaliannya dengan tekad dan iltizam untuk bangkit menentang penjajah sehingga kemerdekaan yang didamkan menjadi sebuah
realiti.

“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk mengingati dan menghargai para pejuang dan patriot kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan yang telah berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara,” ujarnya.

Justeru katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan lebih enam dekad yang lalu diterap dan disuburkan kembali dalam meraikan hari yang penuh bersejarah ini, nescaya rakyat akan dapat menghayati dan menghargai nilai semangat patriotisme kepada negara dan perpaduan sesama pelbagai bangsa.

“Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendoakan agar negara tercinta ini terus berada dalam rahmat dan perlindungan Allah, katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat