Elak Jadi Mangsa Penipuan, Hadkan Jumlah Pindahan Perbankan Internet – TH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) disaran mengehadkan jumlah pindahan harian menerusi perbankan internet pada bank rakan strategik TH, sebagai langkah keselamatan mengelak penipuan dalam talian.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, pendeposit juga perlu sentiasa memastikan maklumat peribadi dan akses kata laluan platform perbankan internet tidak dikongsi dengan mana-mana pihak, selain membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.

Menurut TH, langkah keselamatan penting supaya pendeposit tidak terjerat dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau ‘scammer’.

TH juga sedang mengambil langkah mengurangkan had pindahan harian menerusi perbankan internet bank-bank rakan strategik bagi mengekang penipuan dalam talian dari menimpa pendeposit.

“Platform dalam talian TH iaitu THiJARI amat selamat kerana pengeluaran atau pindahan keluar dari TH adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Malah, THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan, antaranya nama pengguna, kata laluan, TAC serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi itu disambung ke laman web rasmi THiJARI.

“Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon, manakala arahan pindahan telegrafik di kaunter hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun bank milik sendiri sahaja,” menurut kenyataan itu.

TH berkata, menerusi aplikasi THiJARI, satu sesi log masuk sahaja dibenarkan bagi setiap akses dan maklumat sulit akaun pendeposit juga tidak akan disimpan dalam telefon bimbit, selain sentiasa dikemas kini dan penambahbaikan kawalan keselamatan teknologi dilaksanakan secara berterusan.

Dalam pada itu, TH memandang serius penyalahgunaan media sosial dalam penyebaran berita palsu atau kandungan tidak jelas, sehingga menimbulkan suasana keresahan dan panik dalam kalangan orang ramai terhadap TH.

“TH tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“TH komited untuk terus memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada pendeposit di platform komunikasi rasmi TH.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” menurut kenyataan itu. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat