Malaysia, Singapura Kerjasama Atasi Kesesakan Laluan Darat – MB Johor

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Malaysia dan Singapura sedang bekerjasama mencari langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah kesesakan yang kerap berlaku di kedua-dua laluan darat, Tambak Johor dan LinKedua.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara langkah berkenaan termasuk memastikan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands berjalan mengikut jadual.

Selain itu, pihaknya turut mengadakan perbincangan untuk mewujudkan perkhidmatan feri yang menghubungkan Iskandar Puteri dan Tuas, Singapura.

“Sejak sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April lalu, kita akui berlaku kesesakan di laluan darat yang menghubungkan kedua-dua negara, ini berlaku termasuk pada hari bekerja biasa.

“Saya faham terdapat keperluan untuk mengurangkan kesesakan di laluan darat terlibat kerana ia sememangnya satu masalah, tetapi satu masalah yang baik untuk dihadapi.

“Walau bagaimanapun, kerajaan Johor, Malaysia dan Singapura sedang bekerjasama dengan erat untuk mengatasi isu berkenaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek 1975 Avenue and Hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar.

Mengenai projek berkenaan, Onn Hafiz berharap pelaksanaan projek komersial dan perkhidmatan seperti 1975 Avenue and Hotel di Kempas mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke negeri ini, khususnya dari luar negara.

“Projek ini yang menyediakan penginapan hotel di dalam kapal terbang merupakan yang pertama sepertinya di selatan tanah air dan pengkhususan untuk restoran halal juga mampu menarik kehadiran pengunjung beragama Islam,” jelasnya.

Projek 1975 Avenue and Hotel yang dibangunkan oleh Tiong Nam Group dijangka akan dibuka hujung tahun 2023 turut menempatkan dua buah kapal terbang jenis Boeing 747 selain pantai buatan untuk tujuan rekreasi. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat