Tambahan Kadar CRK Antara Rancangan Tranformasi KPM – Radzi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tambahan kadar Cuti Rehat Khas (CRK) lima hari kepada warga pendidik yang berkhidmat melebihi 10 tahun adalah sebahagian daripada perancangan transformasi pendidikan digerakkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata usaha berterusan KPM untuk menambah baik dan memperkasa perkhidmatan keguruan dengan cadangan meningkatkan CRK itu, diterima kerajaan sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerusi Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII).

“Semoga warga pendidik memanfaatkan kemudahan ini sebaiknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Sementara itu, bagi pasangan guru Ahmad Aiman Muhammad Fadhil, 33, dan Nurul Farhanis Syuhada Ibrahim, 33, CRK tambahan itu dapat digunakan bagi menguruskan isu berkaitan keluarga terutamanya melibatkan hal kecemasan seperti kesihatan anak-anak atau orang tua.

Ahmad Aiman, yang sudah 10 tahun berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Sentul 1, berkata tambahan CRK berkenaan dapat mengelakkan guru mengambil cuti tanpa gaji sekiranya CRK asal yang berjumlah 10 hari itu habis digunakan.

“Kebanyakan guru yang berkhidmat lebih 10 tahun ini mempunyai anak yang sedang membesar, jadi ini (tambahan CRK) boleh memberi kelebihan kepada mereka jika berlaku kes kecemasan lebih-lebih lagi berkaitan anak-anak contohnya anak sakit secara tiba-tiba dan berterusan.

“Jadi, guru tidak perlu khuatir kehabisan CRK sebab kalau CRK mereka habis, masih ada lagi 15 hari CRK daripada pasangan mereka yang boleh digunakan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagi Ahmad Nizam Daud, 45, yang telah berkhidmat selama 21 tahun dan kini bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell, Kuala Lumpur berkata tambahan CRK mampu memberi lebih pilihan kepada guru yang memerlukan cuti terutama untuk kes kecemasan dan mustahak kerana penggunaan cuti tanpa gaji memberi kesan kepada perkhidmatan.

“Selain itu, guru yang sudah berkhidmat melebihi 10 tahun ini selalunya mempunyai anak yang sudah belajar di asrama ataupun di universiti. Jadi, sedikit sebanyak pertambahan CRK ini dapat dimanfaatkan semasa menghantar, mengambil atau menziarahi anak,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,497FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat