KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, sedang memantau keadaan dengan teliti susulan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun pada 30 Julai 2025.
Dalam status terkini kementerian itu memaklumkan, amaran tersebut dikeluarkan setelah gempa bumi berskala 8.0 pada skala Richter berlaku berhampiran Semenanjung Kamchatka, Rusia, pada kira kira 8:25 pagi waktu tempatan.
“Agensi Meteorologi telah memberi amaran bahawa gelombang tsunami setinggi 1 hingga 3 meter dijangkakan akan sampai ke kawasan pantai yang menghadap Pasifik, termasuk Hokkaido timur, Semenanjung Boso, Kepulauan Ogasawara, dan sebahagian Shizuoka, Semenanjung Kii, serta Prefektur Miyazaki.
“Pada masa ini, tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.
“Namun begitu, semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan agar berjaga jaga, mengikut arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan, dan sentiasa mengikuti perkembangan situasi melalui saluran rasmi.
“Warga Malaysia yang menetap atau sedang melalui kawasan terjejas juga digalakkan untuk mendaftar dengan Kedutaan dan kekal berhubung bagi memastikan bantuan boleh diberikan dengan segera jika diperlukan,” kata kementerian itu lagi.
Untuk bantuan konsular, sila hubungi:
Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo
20 16, Nanpeidai cho, Shibuya ku, 150 0036 Tokyo, Jepun
Telefon: +81 3 3476 3840
Kecemasan: +81 80 4322 3366
Emel: [email protected] / [email protected]
Kementerian ini akan terus memantau keadaan dan memberi maklumat terkini sebagaimana perlu bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia di Jepun terpelihara.



