Nilai Arif Aiman Dijangka Mampu Cecah RM7.5 Juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Berdasarkan peningkatan nilai pasaran hampir tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun, tidak mustahil nilai pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi boleh ‘mencanak’ sehingga lebih RM7.5 juta dalam tempoh lima tahun lagi.

Jangkaan itu diletakkan ejen berpengalaman yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah selepas melihat beberapa faktor bakal ‘membantu’ peningkatan nilai pasaran pemain berusia 21 tahun itu.

Menerusi laman sesawang transfermarkt, nilai pasaran Arif Aiman pada 2021 adalah sekitar RM638,000 namun meningkat sehingga RM2.3 juta pada kemaskini yang dilakukan, baru-baru ini.

“Secara dasarnya, peningkatan nilai pasaran ini bergantung kepada prestasinya, pasukan yang diwakilinya serta persembahan bersama pasukan kebangsaan.

“Jika dilihat sekarang, dia memang berada pada pasukan yang tepat untuk terus berkembang dan ada kemungkinan nilainya mampu terus meningkat, sekurang-kurangnya 1.5 juta euro walaupun kekal dalam liga tempatan.

“Kita harus ingat dia masih lagi muda dan banyak lagi peningkatan yang boleh ditunjukkan. Dia pun dengan pasukan yang bagus, cemerlang dalam liga dan beraksi di pentas tertinggi Liga Juara-Juara Asia.

“Dia juga berada di bawah bimbingan individu yang baik (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), jadi dia boleh pergi jauh. Pembangunan bakat di JDT dijalankan dengan serius oleh pengurusan diterajui Tunku Ismail, jadi memang dia berpotensi besar,” katanya.

Terdahulu, pemain muda itu terus mencipta sensasi selepas meledak hatrik untuk membantu skuad Harimau Selatan membenam Selangor FC (SFC) 4-0 pada aksi separuh akhir Piala FA, Isnin lalu.

Kejayaan itu hadir hanya beberapa hari selepas dia turut beraksi cemerlang bersama skuad Harimau Malaya apabila menjaringkan lima gol dalam dua aksi persahabatan berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.

Dalam masa sama, Effendi juga melihat nilai pasaran Arif Aiman mampu meningkat jauh lebih tinggi sekiranya dia membuat keputusan untuk berkelana di liga luar.

“Di JDT pun, nilai pasarannya boleh meningkat tetapi kalau dia mendapat peluang beraksi di luar negara, mungkin nilai pasarannya boleh naik lebih tinggi,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat