Pelaburan Google buka ruang limpahan ekonomi pelbagai sektor di Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Komitmen pelaburan syarikat gergasi teknologi Google sebanyak AS$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia akan membuka ruang kepada limpahan ekonomi terhadap pelbagai sektor dan industri dalam negara, kata seorang pakar ekonomi.

Penganalisis ekonomi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berpendapat pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google akan membuka ruang kepada sektor lain untuk menerima manfaat.

Beliau berkata, secara khususnya, sektor teknologi akan menerima impak ekonomi paling besar kerana ia secara langsung terlibat dengan proses pembangunan pusat data milik Google itu.

“Dalam masa sama, sektor tenaga serta telekomunikasi bakal menyaksikan kesan limpahan ekonomi apabila pusat data yang bakal dibina perlu dikuasakan dengan bekalan tenaga yang sangat banyak.

“Sektor pembinaan dan hartanah akan turut menerima manfaat apabila proses membangunkan infrastruktur serta kawasan sekitarnya dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya menerusi program Malaysia Petang Ini, terbitan BernamaTV, hari ini.

Google yang merupakan syarikat di bawah kumpulan Alphabet Inc hari ini mengumumkan pelaburan terbesarnya di Malaysia setakat ini, selepas bertapak di negara ini selama 13 tahun.

Menurut Google, pelaburannya dijangka menyokong lebih US$3.2 bilion (RM15.04 bilion) menerusi impak ekonomi yang positif serta mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030.

Impak daripada pelaburan ini juga akan membuka ruang kepada syarikat gergasi global lain untuk turut membuat pelaburan yang sama seperti Google di Malaysia, kata Nuradli Ridzwan.

Beliau berkata, selain kesan limpahan ekonomi, pelaburan terkini Google di Malaysia itu adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam usaha transformasi ke arah ekonomi digital.

“Transformasi ke arah ekonomi digital bermaksud kita kena bersedia dari semua aspek seperti mendigitalkan sektor awam dan sosial, serta penerimagunaan kecerdasan buatan (AI),” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat