Oleh: Zihan Zari
LUMUT – Kapal Diraja (KD) Lekiu yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Kepten Mahamad Nazir Darus akan menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024 di Joint Base Pearl Harbor, Hawaii.
Pelepasan KD Lekiu ke RIMPAC telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Dato’ Ts. Shamsuddin Hj. Ludin di Tambatan Pangkalan Lumut pada Rabu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat memaklumkan, ini kali ketiga TLDM dan kedua KD Lekiu menyertai eksesais ini.
KD Lekiu telah menyertainya buat kali pertama pada 2018 dan diteruskan dengan KD Lekir pada 2022.
Menurutnya, RIMPAC merupakan eksesais multilateral terbesar di dunia, bakal menyaksikan lebih 30 negara dengan penglibatan sebanyak 40 buah kapal, empat kapal selam dan 170 pesawat.
Eksesais ini melatih keupayaan gabungan pasukan RIMPAC dalam persekitaran maritim dinamik bagi menunjukkan kesalingoperasian berterusan merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan.
Katanya, pelayaran KD Lekiu ke Pearl Harbor akan menempuh tempoh hampir 100 hari.
Pelayaran sejauh 12,730 batu nautika ini akan disusuli dengan pelbagai latihan yang dirancang termasuk penembakan misil ke sasaran kapal sebenar.
“Penyertaan TLDM dalam eksesais ini adalah satu kebanggaan bagi negara dan menjadi penanda aras dalam memastikan semua asetnya berfungsi dengan cemerlang.
“Ianya membawa manfaat kepada negara, menunjukkan keupayaan dan kesiapsiagaan TLDM dalam melaksanakan operasi maritim yang kompleks dan mencabar serta meningkatkan kesalingoperasian antara TLDM dengan kesemua angkatan laut antarabangsa,” katanya lagi.
Ujarnya, eksesais ini akan dijadikan platform anggota TLDM untuk menimba ilmu dan pengalaman baru melalui latihan bersama yang intensif.
Di samping itu, dapat memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan pertahanan Malaysia dengan negara-negara lain melalui interaksi dan kerjasama erat.
“Pelepasan bersejarah ini turut dihadiri oleh Pegawai Memerintah di Armada Barat TLDM, pegawai kanan TLDM dan ahli keluarga KD LEKIU,” menurut kenyataan itu lagi – Suara.TV