Shaa tolak gimik

- Advertisement -

GADIS kelahiran Kuala Kedah ini pernah mencipta fenomena menerusi single sulung berjudul Pertama Kali yang dikeluarkan pada 2017.

Muzik video, lirik dan persembahan secara langsung lagu itu mencapai tontonan luar biasa lebih daripada 40 juta di YouTube.

Shaa turut mencapai kejayaan membanggakan menerusi single kedua berjudul Biar Ku Pergi yang dikeluarkan pada 2018 yang mencapai jumlah tontonan mencecah enam juta di YouTube.

Berbekalkan kelunakan suara yang dimiliki, Shaa berjaya mengumpul jutaan peminat bukan saja dari Malaysia, tapi juga di Indonesia.

Kini, untuk mengubati rindu peminat, Shaa, 27, atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari kembali dengan single terbaharu berjudul Tersentak Di Dada hasil ciptaan Matthius Mambang dan Jesley Jabu serta lirik oleh Matthius Mambang.

Menariknya, lagu ini ialah rakaman semula lagu yang asalnya dalam bahasa Iban, Sarawak berjudul Tegepang Ba Dada yang dinyanyikan oleh Karen Libau.

Muzik video rasmi lagu asal itu trending di YouTube ketika mula dikeluarkan dua tahun lalu dan kini mencapai jumlah tontonan lebih daripada tiga juta di YouTube.

“Saya percaya rakaman semula lagu ini dalam bahasa Melayu beri pendedahan lebih meluas untuk lagu yang baik ini kepada kelompok pendengar baharu. Versi asal lagu ini dalam bahasa Iban pun sudah mendapat sambutan hebat. Apatah lagi jika ia dinyanyikan dalam bahasa Melayu yang boleh difahami lebih ramai pendengar.

“Genre lagu baharu ini juga seacuan dengan lagu jiwang yang saya rakam sebelum ini seperti Pertama Kali dan Biar Ku Pergi. Jadi, saya percaya peminat boleh menerima single terbaharu ini dengan baik. Apabila seseorang artis merakam semula sesebuah lagu, mereka tidak dapat lari dari perbandingan yang pasti dibuat peminat antara versi baharu dan versi asal.

“Sudah pasti perbandingan akan dibuat pendengar antara versi baharu dan versi asal lagu ini. Juga antara saya dan penyanyi asal, Karen Libau. Itu menjadi kebiasaan. Bagi saya, versi baharu dan versi asal lagu ini mempunyai kekuatan masing-masing. Pendengar boleh menilaikannya sendiri. Versi baharu lagu ini bukan sahaja berbeza dari segi bahasa, tapi juga dari segi susunan muzik yang memberikannya suntikan nafas baharu,” katanya.

 

SHAA harap tuah lagu Tersentak Di Dada.

 

Menyedari hakikat gimik dan kontroversi tidak boleh dipisahkan dari kerjaya seseorang artis, Shaa berkata, dia sebolehnya tidak mahu terkait dengan sebarang isu terutama dalam mempromosikan lagu terbaharunya itu

“Saya tak suka gimik atau tular semata-mata untuk menaikkan nama walaupun ada segelintir yang mengambil pendekatan sebegitu. Sebab saya lebih suka dengan cara orang menyukai lagu bukan dengan gimik atau perkara sebegitu.

“Cukup orang lebih sukakan suara dan lagu saya. Kalau dengan cara itu, nama akan naik dengan lebih elok. Maksudnya saya lebih sukakan cara promosi tersendiri. Cuma tidak menggunakan gimik atau video tular. Pendek kata, biar orang mengenali saya dengan suara dan bakat sendiri.

“Bagi lagu Tersentak Di Dada ini, mungkin kita dapat gunakan sebaiknya media sosial seperti TikTok dan Facebook untuk mempopularkan lagu ini. Malah, sebelum ini rakaman secara live lagu Pertama Kali yang dimuat naik ke TikTok berjaya mempopularkan semula lagu ini.” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Tersentak Di Dada, Shaa berkata, proses rakaman lagu ini agak mencabar.

“Pengalaman merakam lagu ini sedikit mencabar sebab lirik asalnya dalam bahasa Iban. Jadi, untuk ubah lirik ke bahasa Melayu perlu tukar sedikit lenggok nyanyiannya.

“Saya banyak ikut tunjuk ajar idola saya iaitu abang Eddie Hamid yang bertindak sebagai penerbit rakaman semula lagu ini. Dia banyak mengajar saya cara macam mana menyampaikan dan menjiwai lagu. Walaupun kita sudah dengar lenggok lagu asal sebelum ini, tapi kita kena ubah cara nyanyiannya supaya ia menjadi lagu kita sendiri,” katanya.

Ditanya kesudiannya untuk menyertai sebarang pertandingan program realiti, Shaa berkata, dia sentiasa bersikap terbuka.

“Saya pernah terfikir nak masuk pertandingan realiti. Tapi, saya perlu atasi perasaan takut untuk masuk rancangan TV. Lagipun saya tak biasa bersaing dengan penyanyi yang lain dalam suatu pertandingan. Jadi, buat waktu ini saya duduk saja di tempat sendiri macam sekarang dan ‘busking’ macam biasa.

“Tapi, ada juga teringin di hati nak masuk. Cuma belum ada rezeki dan kesempatan lagi nak masuk. Tunggu orang panggil masuk dan saya akan mempertimbangkannya,” katanya.

Single terbaharu Tersentak Di Dada nyanyian Shaa terbitan Nova Music kini boleh didengar di semua pelantar striming muzik dan siaran perdana muzik video rasmi lagu ini ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat