Karya kreatif perlu sokongan

- Advertisement -

PANDEMIK Covid-19 yang menggemparkan seluruh dunia memberi kesan mendalam serta menjejaskan seluruh sektor perindustrian.

Tidak ketinggalan, kesannya turut dirasai oleh industri hiburan tanah air yang sama-sama menerima tempiasnya.

Pengehadan pergerakan sesama manusia seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah antara cara bagi memutus rantaian penularan wabak yang menular setahun lebih itu.

Namun, kehidupan seharian dan pelbagai urusan membabitkan aktiviti ekonomi perlu juga diteruskan seperti biasa.

Norma baharu dalam pengurusan industri penyiaran perlu digerakkan sebaik mungkin yang membabitkan pergerakan aset manusia dan peralatan penerbitan sesebuah rancangan secara langsung dan rakaman.

Ada peribahasa menyatakan alah bisa tegal biasa yang mana sesuatu pekerjaan yang baharu, sukar akhirnya akan menjadi mudah jika dilakukan dilaksanakan dengan kecekalan, kesabaran dan berterusan sehingga menampakkan hasil yang menceriakan.

Itulah perumpamaan bagi suasana yang berlaku terhadap industri kreatif; program hiburan tanah air khususnya yang sedang diuji dengan ketiadaan serta pengehadan jumlah penyertaan penonton bagi menghidupkan suasana yang seterusnya menjayakan sesebuah program hiburan.

Kehadiran penonton secara langsung kebiasaannya memberikan semangat yang luar biasa kepada seluruh kru penerbitan sesebuah rancangan televisyen.

Selain itu, penggiat seni seperti pelakon, pelawak, pemuzik, penari dan sebagainya memerlukan sentuhan magika penonton bagi menyerikan lagi program hiburan yang digemari disertai oleh seluruh penonton di studio yang berada di hadapan kaca media eletronik mahupun media sosial.

Penulis berasa amat terharu dan tersentuh apabila terdapat luahan hati daripada seorang pelawak tersohor negara yang mengibaratkan dirinya seperti bermain bola, tetapi bolanya pula tiada.

Disebabkan faktor keselamatan kesihatan itu walaupun tanpa penyertaan penonton urusan penerbitan sesebuah rancangan perlu diteruskan seperti biasa dan ia turut dijadikan sebagai pengalaman baharu yang dikenang sepanjang hayat sebagai penggiat seni yang kental.

Seluruh tenaga produksi dipohon melaksanakan penambahbaikkan dari segi kreativiti dan inovasi dalam melakukan aktiviti membabitkan program berbentuk hiburan yang suram dan perlu dikembalikan sinarnya pada masa mendatang dengan tabah dan bersemangat.

Perancangan penerbitan televisyen yang lebih sistematik dan strategik ditagih kepada seluruh penggiat seni tanah air agar karya kreatif serta bermutu yang dihasilkan mendapat tempat di hati masyarakat.

Penelitian terhadap penghasilan idea melibatkan konsep, tema dan mesej kepada penonton sasaran diharapkan dapat dipertingkatkan agar persembahan yang terbaik dapat memberi sumbangan yang membina dalam pembentukan nilai peribadi tinggi masyarakat, khususnya melalui program berbentuk hiburan.

Bukan senang menghasilkan punch line dan pick up line oleh seseorang pelawak sekiranya tidak disusuli dengan ilmu pengetahuan serta pengalaman yang dijadikan sebagai sandaran untuk menghiburkan penonton dengan sajian yang boleh mengalirkan air mata dan dapat mengurangkan stres.

Fungsi media massa sebagai sumber informasi dan hiburan diharap dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan walaupun terdapat seribu halangan yang memberi pengalaman berharga kepada seluruh kru penerbitan melibatkan di hadapan kamera mahupun di sebalik tabir.

Usaha kreatif dan inovatif yang digembleng dalam kalangan penggiat seni tanah air mempersembahkan karya kreatif mereka di kaca televisyen haruslah disokong dan mendapat tempat dalam kalangan peminat dan penonton rancangan televisyen tanah air.

Jika tiada sokongan serta reaksi golongan sasaran mana mungkin penggiat seni mendapat feedback atau maklum balas yang berguna dalam penghasilan karya yang lebih bermutu dan mendidik masyarakat.

Hiburan yang memiliki mesej yang tersurat dan tersirat perlu ditangani dengan bijak dan waras oleh penggiat seni kerana program dan produk yang dihidangkan bakal menerima reaksi yang berbeza dalam kalangan masyarakat yang memiliki pemikiran dan pengalaman yang luas.

Perancangan rapi membabitkan kerjasama berpasukan juga perlu dipertingkatkan dalam penerbitan rancangan televisyen berbentuk hiburan.

Semangat kerja berpasukan ini bakal menjamin penghasilan sesuatu program dengan lebih bermutu jika setiap unit atau anggota kru penerbitan memberikan idea bernas dengan harapan dan tujuan mendidik serta menghibur masyarakat walaupun adanya pelbagai rintangan dihadapan mereka.

Misalnya, usaha pihak penerbitan yang meletakkan ‘orang-orang’ atau merakam suara penonton yang sedang ketawa menggamatkan suasana adalah usaha yang harus dipuji, kreatif serta bijak dalam usaha membantu meningkatkan aksi personaliti di atas pentas agar dapat memberikan persembahan yang lebih bertenaga.

Seniman Agong Tan Sri P Ramlee pernah berdialog yang menyatakan bahawa: “Irama dan lagu tak boleh dipisahkan, kalau dipisahkan pincanglah lagu dan rosaklah seni.”

Dalam konteks penerbitan rancangan hiburan televisyen penglibatan serta kerjasama antara penggiat seni dan penonton amat diperlukan dalam penghasilan program hiburan yang mendapat tempat dalam hati masyarakat keseluruhannya.

Penulis Pensyarah Penyiaran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat