KUALA LUMPUR – Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan usaha musuh yang berkonspirasi untuk memecah keutuhan Bersatu telah gagal dan berkecai.
Menurut Azmin, mereka diasak oleh musuh kerana Bersatu-Perikatan Nasional (PN) adalah ancaman utama kepada Kerajaan PH/Umno yang rapuh dan menanti saat untuk rebah.
“Kami tetap BERSATU. MPT bersidang kelmarin dan mengulangi ikrar dan tekad kami untuk meneruskan perjuangan yang keramat ini demi umat dan negara.
“MPT sebulat suara mendukung dan mempertahankan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN.
“Kami akan meneruskan agenda prihatin rakyat, kami mengangkat suara rakyat yang dibungkam oleh sang penguasa yang zalim, Bersatu akan terus membicara soal kos sara hidup dan inflasi, kami membawa penyelesaian untuk menanggani masalah harga barang yang terlalu mahal, ketiadaan bekalan beras tempatan, kadar tarif elektrik dan air yang melambung serta kami akan berjuang bersama anggota perkhidmatan awam yang sedang diinjak oleh satu kumpulan pelampau dan Bersatu merasai segala denyutan nadi rakyat.
“Kami pantas turun ke lapangan, bergerak sederap, bahu membahu demi rakyat dan negara,” katanya.