Lebih baik Pas ambil alih kerusi Pengerusi PN bukan meninggalkan, Muhyiddin gagal mesti bertanggungjawab – Wan Saiful

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mengulang gesaan supaya Pas mengambil alih kerusi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukannya meninggalkan PN.

Hal ini kerana katanya, cadangan sesetengah pihak untuk Pas meninggalkan PN adalah tidak betul. Janggal apabila kita bercakap mengenai penyatuan ummah, tetapi kemudian memilih cara yang memecahkan kesatuan sedia ada.

“Langkah lebih baik ialah Pas mengambil alih kerusi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan laksanakan pembaikan-pembaikan yang dicadangkan.

“Parti komponen lain seperti Gerakan harus menerima Pas sebagai Pengerusi PN dengan hati terbuka. Saya sedar ada kebimbangan di kalangan parti komponen PN bukan Melayu. Tapi jika disusun dengan baik, kebimbangan itu boleh diuruskan.

“Kita mesti ingat, Pas bukan parti budak-budak. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

“Setelah itu, laksanakanlah apa yang perlu untuk menghidupkan semula MN bagi membolehkan semua pihak, termasuk badan-badan bukan politik, juga bersatu dalam agenda yang sama. Itu penyatuan sebenar,” saran beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

Wan Saiful memaklumkan, beliau telah mengutarakan cadangan untuk Pas mengambil alih Pengerusi PN sudah lebih setahun, tetapi ia dipendam dan tiada tindakan.

“Saya harap Pas tidak meneruskan pendekatan ini. Pertukaran sepatutnya dilaksanakan lebih awal.

“Jika pertukaran dilakukan lebih awal, mungkin saja krisis Perlis dapat dielakkan kerana budaya musyawarah Pas jauh lebih baik berbanding budaya “aku berkuasa untuk bagi arahan” yang diamalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak setahun dua ini,” tegas Wan Saiful.

Kata Wan Saiful, beliau pernah tegaskan bahawa apa yang berlaku di Perlis adalah lambang kegagalan Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional dan Muhyiddin mesti bertanggungjawab.

“Kenapa Muhyiddin tidak panggil mesyuarat PN untuk menentukan calon Menteri Besar PN? Kenapa Bersatu hantar surat lain, Pas pula hantar surat lain?

“Kenapa tidak ada mesyuarat PN yang khusus membincangkan situasi Perlis yang telah kita maklumi berlanjutan sudah berbulan-bulan? Sebagai Pengerusi PN, Muhyiddin sepatutnya segera memanggil mesyuarat sebaik sahaja ada gelora yang dikesan.

“Kegagalan Muhyiddin memberi impak negatif amat besar kepada PN. Hingga ada yang mencadangkan Pas meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

“Tetapi sehingga hari ini Muhyiddin belum panggil mesyuarat. Seolah-olah dia tak peduli pun apa yang berlaku. Sedang seronok di England agaknya.

“Sebenarnya kelemahan Muhyiddin ini telah disedari oleh banyak pihak sejak tahun lepas lagi. Saya telah dedahkan sebelum ini bahawa sejak Disember 2024 lagi Pas telah menulis surat kepada Muhyiddin mencadangkan beberapa pembaikan yang signifikan terhadap PN.

“Tapi tak ada apa-apa tindakan diambil walaupun kelemahan telah dikenal pasti,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat