Ditahan Di Bawah POCA, Mahkamah Pesekutuan Tangguh Keputusan Rayuan ‘Datuk’, Dua Anggota Polis

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusannya bagi usaha terakhir seorang ‘Datuk’ dan dua anggota polis supaya mereka dibebaskan segera daripada ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan sindiket perjudian dalam talian.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan penghakiman terhadap rayuan Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kana’, Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Koperal Mohd Hairy Mohammad, masing-masing berumur 34 dan 39 tahun selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.

“Kami tangguh keputusan kes ini,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Prosiding dijalankan secara dalam talian dengan lima hakim itu dan beberapa pegawai mahkamah berada di mahkamah manakala peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili ketiga-tiga perayu itu serta Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti bagi pihak empat responden iaitu pegawai penyiasat ASP Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia, di lokasi lain, menggunakan aplikasi zoom.

Zaidi, Muhamad Amin dan Mohd Hairy merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan habeas corpus mereka supaya dibebaskan serta-merta.

Dalam permohonan itu, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah bahawa penangkapan dan penahanan mereka pada 11 Okt lepas mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 adalah tidak sah, tidak mempunyai asas, tidak mematuhi prosedur dan berniat jahat.

Mereka juga memohon perintah bahawa perintah reman bertarikh 14 Okt 2020 oleh seorang majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan polis untuk menahan reman ketiga-tiganya selama 21 hari mulai 14 Okt hingga 3 Nov lepas di bawah Seksyen 4(1)(a) POCA adalah tidak sah, tidak mempunyai asas dan berniat jahat.

Pada 30 Okt lepas, Majistret M.Mageswary membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman mereka selama 38 lagi iaitu sehingga 6 Dis.

Ketiga-tiga mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkaamh Tinggi pada 2 Nov kemudiannya memfailkan rayuan pada hari yang sama dan memandangkan permohonan mereka adalah untuk habeas corpus, rayuan itu terus ke Mahkamah Persekutuan.

Menurut polis, ketiga-tiga mereka dan seorang lelaki Goh Leong Yeong atau Alvin Goh kini ditahan di bawah POCA selama dua tahun di Pusat Pemulihan Khas (PPK) Simpang Renggam, Johor, PPK Pokok Sena di Kedah dan PPK Bentong, Pahang.

Perintah terhadap mereka dikeluarkan pada 25 dan 26 Nov sebelum kesemua mereka dihadapkan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah dan Keganasan (Kementerian Dalam Negeri) untuk tindakan selanjutnya.

Semasa berhujah, Sri Ram antara lain menyatakan bahawa penahanan ketiga-tiga mereka adalah mala fide (dengan niat jahat) untuk menyekat maklumat mengenai pegawai polis yang rasuah.

Beliau berkata Seksyen 4 (1) (a) POCA tidak berperlembagaan kerana melanggar doktrin pengasingan kuasa.

Muhammad berhujah bahawa tidak ada merit dalam isu mala fide yang dikemukakan ketiga-tiga perayu yang memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

“Ini kerana perayu yang ditahan adalah suspek dan bukan saksi material,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,591FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat