Hajiji selesai mengundi di SK Serusup

TUARAN — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada jam 11.40 pagi, di Sekolah Kebangsaan Serusup, bersama isteri, Datin Seri Juliana Saleh, serta empat orang anak.

Menurut Hajiji, suasana pengundian yang aman serta aliran keluar masuk pengundi yang teratur menunjukkan kematangan rakyat Sabah dalam melaksanakan tanggungjawab demokrasi.

“Alhamdulillah, pagi ini saya dan keluarga selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Suasana di SK Serusup sangat baik, tenang dan teratur.

“Saya juga menerima laporan bahawa di banyak tempat di seluruh Sabah, proses pengundian berjalan aman tanpa sebarang perkara yang tidak diingini. Ini mencerminkan kematangan rakyat kita.

“Saya ingin menyeru semua pengundi Sabah, terutama yang masih belum keluar rumah, supaya hadir awal ke pusat mengundi. Cuaca pagi ini baik, tetapi kita bimbang hujan pada sebelah petang. Lebih awal mereka keluar, lebih lancar prosesnya. Ini adalah tanggungjawab besar sebagai rakyat, suara kita menentukan masa depan negeri,” katanya.

Menyentuh mengenai sokongan di kawasan yang beliau wakili, DUN Sulaman, Hajiji menegaskan keyakinan teguh bahawa sokongan rakyat kekal berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya sudah lama bersama rakyat Sulaman. Saya tahu sentimen mereka, saya tahu apa yang mereka mahu, dan saya percaya mereka memahami usaha yang telah dilakukan kerajaan negeri selama ini.

“Sebab itu saya amat yakin, insya-Allah, GRS akan memperoleh kemenangan di Sulaman. Namun seperti biasa, kita tetap hormat keputusan rakyat. Mereka yang menentukan masa depan negeri,”katanya.

Hajiji berkata beliau akan berada di Sri Gaya pada sebelah petang untuk mengikuti perkembangan keputusan pilihan raya dan berharap keseluruhan proses pengundian di Sabah selesai dengan aman serta teratur.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat