FGV catat untung besar di sebalik persekitaran perniagaan mencabar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd (FGV) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM83 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023.

FGV melaporkan keuntungan operasi sebanyak RM207 juta, manakala hasil mencatatkan RM4.91 bilion di sebalik persekitaran perniagaan yang mencabar, terutamanya margin keuntungan menipis daripada sektor perladangan dipengaruhi harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah dan kos input yang lebih tinggi.

Suku itu menyaksikan pengurangan sebanyak 15 peratus bagi jumlah penerimaan buah tandan segar (BTS) iaitu 3.36 juta tan berbanding tempoh sama tahun lalu yang direkodkan sebanyak 3.95 juta tan.

Pengurangan itu sejajar dengan jumlah pengeluaran BTS semasa yang lebih rendah di seluruh negara.

Kumpulan menerima BTS yang lebih rendah daripada peneroka Felda sebanyak 22 peratus pada 1.36 juta tan dan pihak ketiga sebanyak 12 peratus pada satu juta tan.

Walau bagaimanapun, prestasi positif kewangan syarikat disokong peningkatan yang dilaporkan oleh sektor logistik dan lain-lain serta pengurangan kerugian yang dicatatkan oleh sektor gula.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor, berkata cabaran perniagaan FGV adalah berbeza berbanding syarikat perladangan utama yang lain.

Beliau berkata, FGV adalah pembeli terbesar BTS pekebun kecil di Malaysia dengan memperoleh komoditi itu daripada peneroka Felda dan pekebun kecil bebas pada harga yang ditetapkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang menyumbang 70 peratus daripada jumlah BTS yang diprosesnya.

“Komitmen kami melangkaui perniagaan kerana akan terus memenuhi tanggungjawab sosial untuk menyokong komuniti setempat sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

“Di sebalik cabaran semasa, FGV kekal optimis dengan mendepani cabaran kompleks perniagaan secara strategik, terus memacu ke hadapan untuk memberikan nilai yang berterusan bagi memenuhi jangkaan pihak berkepentingan kami,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Dalam usaha berterusan yang menyokong usaha kelestarian dan dalam menangani penggantungan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS), FGV berjaya menyelesaikan fasa ketiga pembayaran balik yuran pengambilan pekerja pada 15 September 2023.

Sejumlah RM72.2 juta telah diagihkan kepada 19,673 pekerja migran dan pembayaran itu dibuat dalam tiga peringkat iaitu pada Mac, Jun dan September, yang sedang disahkan oleh Elevate, firma pengauditan bebas yang dilantik FGV.

Selain pembayaran balik yuran, Elevate juga akan mengesahkan pelaksanaan aspek lain pelan pemulihan FGV.

Pengesahan berkenaan dijangka selesai pada suku pertama 2024 dan laporan akan diserahkan kepada CBP AS pada Jun 2024.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat