KUALA LUMPUR: Kepelbagaian genre muzik termasuk pengkarya yang pernah bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) termasuk bintang ‘senior’, Misha Omar, terpilih dalam kumpulan kedua yang bakal berentap pada peringkat Semi Final Muzik Muzik 36 (SFMM36) seperti diumumkan, semalam.
Kelompok itu bakal bersaing dengan 20 karya lain sebaik pusingan separuh akhir SFMM36 bermula pada 31 Disember depan disusuli 1 Januari 2022. Minggu lalu, kumpulan pertama 10 lagu sudah diumumkan penganjur.
Sepuluh lagu dalam kumpulan kedua yang bersaing pada SFMM36 adalah Sepi dendangan dan ciptaan Aina Abdul manakala lirik dihasilkan Aina dan Wan Zakaria; Tetap Aku Cinta (Ara Johari/Amy Bong, Nahruf dan MFMF/Amy Bong dan Ara); Cinta (Marsha Milan/Bunga Cantik dan Hang Nadim/Hang Nadim); Cinta Khayalan (Wany Hasrita/Berlin/Tokyo Angkasa) serta Durja (Khai Bahar dengan lagu dan lirik dihasilkan Iqie Hugh, Omar K dan Khai).
Turut bersaing Pelukan Angkasa (SOG X Shila Amzah/Raja Nazrin Shah/Fazleena Hishammuddin); Karma (Kaka Azraff dan Jazz Hayat/Farouk Roman/Aishah Retno) serta Tanpa Rela (Misha/Misha dan Sze Wan/Misha, Slen Fadzil dan Zul Husni).
Selain itu, Aewo (Shiha Zikir menampilkan Noki/Ezra Kong/Ezra Kong dan Noki) dan Goodbye Hello (Syamel dan Ernie Zakri dengan lagu serta lirik dihasilkan Ernie, Syamel, Faizal Tahir dan Mike Chan.
Misha yang pernah meraih Vokal Terbaik pada AJL sebanyak tiga kali, teruja dengan perkembangan sihat dilihat melalui penyertaan generasi lama dan baharu pada SFMM36.
“Inilah warna-warna yang saya selalu mahukan dalam industri seni. Ada pertembungan artis lama dan baharu… Suasana ini sangat sihat dan positif.
“Saya boleh serap semangat artis muda dan begitulah sebaliknya,” katanya.
Misha teruja kerana kali ini, dia berentap bukan atas kapasiti penyanyi semata mata.
“Saya bersaing sebagai komposer lagu Tanpa Rela bersama Sze Wan dan menghasilkan lirik bersama Slen Fadzil dan Zul Husni.
“Dapatlah selami perasaan penyanyi yang juga komposer setiap kali berentap dalam pertandingan ini, contohnya, Naim Daniel,” katanya melalui aplikasi zoom pada pengumuman kumpulan kedua SFMM36, semalam.
Akur harapan penonton setiap kali berentap, Misha menganggap pengalaman lalu mematangkan dirinya.

“Saya tidak mahu terbawa-bawa dengan apa yang boleh membimbangkan. Saya cuba kawal pentas sebaik mungkin dan moga kesihatan mengizinkan,” katanya yang menganggap SFMM36 lebih gerun berbanding malam kemuncak.
Ernie Zakri yang sedang hamil mengaku gementar untuk tampil pada SFMM36.
“Disember ini, usia kandungan sudah mencecah tujuh bulan. Namun, saya ada suami yang akan mendendangkan lagu duet kami.
“Saya akan cuba buat sehabis baik,” katanya.
Sementara itu, Wany yang meraih tempat ketiga pada AJL 35 melalui lagu duet Belenggu Rindu bersama Datuk Jamal Abdillah, mahu memberi tumpuan kepada vokal.
“Saya lihat SFMM36 sebagai medan bersua dan mendekatkan ukhuwah sesama artis. Kita juga mengumpul ilmu dan pengalaman.
“Soal siapa menang atau kalah, itu cerita lain,” katanya yang mempertandingkan lagu Cinta Khayalan.
Ara pula tidak melihat SFMM36 sebagai pentas persaingan.
“Masing-masing ada kehebatan sendiri. Pertandingan pasti ada menang dan kalah.
“Namun, semestinya kita bawa tanggungjawab besar untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer seperti suatu amanah,” katanya yang mara dengan lagu Tetap Aku Cinta.
Baki 10 lagu bakal diumumkan pada 5 Disember ini bagi melengkapkan 30 karya ciptaan komposer tanah air yang berentap pada SFMM36.
Berita Harian