The Reds Rampas Takhta Pendahulu EPL

LONDON – Pasukan Liverpool merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun hanya mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Brighton dalam aksi di Stadium Amex sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, pengendali The Reds, Jurgen Klopp membariskan gandingan ‘tiga serangkai’ di jentera serangan iaitu Mohamed Salah, Diego Jota dan Roberto Firmino dengan merehatkan Sadio Mane di bangku simpanan.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah dilihat lebih banyak melakukan asakan dan berjaya meraih sepakan penalti pada minit ke-20 tetapi tendangan yang dilakukan oleh penyerang, Neal Maupay tersasar.

Salah berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-34 selepas bijak menyudahkan hantaran Firmino tetapi jaringan tersebut dibatalkan hasil keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bersambung pada babak kedua, jaringan yang dicari oleh Liverpool akhirnya tiba hasil penyudah berbisa Jota pada minit ke-60 selepas menerima umpanan daripada Salah.

Skuad The Reds terus ghairah menggandakan asakan selepas Mane dimasukkan sebagai pemain gantian tetapi jaringan yang dilakukan oleh penyerang antarabangsa Senegal itu pada minit ke-84 turut dinafikan oleh VAR.

Pasukan Brighton akhirnya menarik nafas lega selepas sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan yang mana berjaya disudahkan oleh pemain tengah, Pascal Gross.

Keputusan tersebut menyaksikan Liverpool mendahului carta EPL buat sementara waktu apabila meraih 21 mata selepas beraksi 10 perlawanan musim ini. – K! ONLINE