KUALA LUMPUR – Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan beberapa kekangan dan cabaran melaksanakan projek infrastruktur luar bandar.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 peringkat dasar KKDW menjelaskan kepada Dewan Rakyat kekangan dan cabaran serta penyelarasan dan hala tuju strategi melaksanakan projek infrastruktur luar bandar.
“Terdapat beberapa kekangan dan cabaran dihadapi di antaranya keadaan bentuk muka bumi yang melibatkan penyediaan reka bentuk konsep, kajian fizikal, pengambilan tanah, reka bentuk terperinci, kajian impak alam sekitar (EIA), faktor cuaca, banjir dan pandemik Covid-19,” jelas Zahid.
Pun begitu kata beliau, KKDW sentiasa komited dalam mencapai hasrat menjadikan luar bandar sebagai kawasan yang kondusif dan seronok untuk didiami.
“Melalui kerjasama jitu daripada kerajaan negeri sebagai rakan kongsi, pembangunan luar bandar dapat direalisasikan ke arah yang lebih inklusif demi menaik taraf dan meningkatkan kualiti hidup bagi memenuhi keperluan sosioekonomi, fizikal, rohani dan sahsiah masyarakatnya,” ujar beliau.



