Pahang Destinasi Akhir Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sebelum PRU15

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Pahang adalah destinasi terakhir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November ini.

Jelas beliau, kerajaan sentiasa memastikan Keluarga Malaysia di negeri Pahang sentiasa hidup aman dan harmoni.

“Ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang berpaksikan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

“Konsep tersebut yang mula diperkenalkan sewaktu saya mula menggalas amanah sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021, sudah semakin sebati dengan seluruh rakyat pada hari ini, khususnya di negeri Pahang,” katanya di Kuantan pada Sabtu.

Menurut beliau, konsep ini melambangkan keteguhan negara yang berlatarkan pelbagai agama dan bangsa serta bersifat inklusif, dilengkapi nilai institusi kekeluargaan yang sentiasa berperanan membela nasib dan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir.

“Saya amat gembira melihat Keluarga Malaysia di negeri ini yang mampu hidup secara harmoni dan saling membantu antara satu sama lain seperti sebuah keluarga, ibarat “lemah menapis, condong menopang.”

“Saya yakin dengan menjunjung semangat Keluarga Malaysia, kita bukan sahaja dapat mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi, malah dapat mengekalkan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Perdana Menteri menjelaskan, amalan ini juga selari dengan nilai tasamuh atau toleransi yang menjadi acuan dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat majmuk seperti yang saya ingin terapkan dalam diri seluruh Keluarga Malaysia.

Ujarnya, nilai tasamuh yang dituntut dalam Islam ini, bukan sahaja membolehkan rakyat terus membangun sehingga dihormati tetapi juga dapat mengelakkan daripada sebarang perbalahan yang sia-sia.

Perdana Menteri memberitahu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.3 bilion ke negeri Pahang yang akan mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan baharu dalam kalangan Keluarga Malaysia Pahang tahun ini.

Selain itu katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi
menyahut Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

“Fasa pertama di Pahang melibatkan lapan lokaliti akan memanfaatkan 178 Ketua Isi Rumah (KIR) iaitu Kampung Bohor Baru dan Perkampungan Orang Asli (KOA) Kuin/ Lengut, daerah Bera; Kampung Kechau Tui, daerah Lipis; Kampung Lada, daerah Jerantut; Kampung Bolok, daerah Temerloh;
Kampung Pasir Panjang, daerah Pekan; KOA Chenan Cerah, daerah Cameron Highlands; KOA Langkap Lama, daerah Rompin; dan
KOA Tungau, Pos Lenjang, daerah Lipis,” jelas beliau.

Bukan cuma itu, Ismail Sabri juga mengumumkan bahawa kerajaan turut menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa mereka.

“Di bawah inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia, ibu daripada isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai one-off sebanyak RM500.

“Bahkan golongan belia juga bakal menerima kredit e-dompet menerusi inisiatif e-Pemula sebanyak RM200 bagi 2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa berumur 21 tahun ke atas.

“Bagi golongan wanita, sejumlah RM235 juta disediakan sebagai dana pembiayaan tersedia khas di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA MARA, dan Biz Lady Bank Rakyat agar lebih ramai wanita menceburi bidang keusahawanan,” kata beliau.

Sementara itu, tambahnya Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan di bawah RM2,500 yang memiliki lima anak atau lebih, akan menerima bantuan sebanyak RM2,500. Ini juga merupakan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara.

“Insyaallah, segala inisiatif tersebut dapat dilaksanakan sekiranya Kerajaan yang saya terajui, diberi mandat pada PRU15, supaya bajet ini dapat dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat, dibahaskan dan diluluskan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat