Kerajaan Cekap Pacu Malaysia Keluar Daripada Kemelut, Krisis Ekonomi – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Berkat kerjasama Keluarga Malaysia juga kecekapan tadbir urus kerajaan membolehkan negara keluar daripada kemelut dan ekonomi negara berjaya dipulihkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara mengharungi tempoh sukar sejak kebelakangan ini, bermula dengan pandemik Covid-19, dan kini berdepan pula dengan krisis geopolitik dunia dan perubahan iklim global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan.

“Namun, berkat kerjasama Keluarga Malaysia serta kecekapan tadbir urus Kerajaan membolehkan kita keluar daripada kemelut ini dan terus fokus kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kuantan pada Sabtu.

Jelas beliau hari ini, prestasi ekonomi negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun 2022.

Bahkan, kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh.

“Kadar pengangguran pada bulan Ogos 2022 iaitu 3.7 peratus jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus.

“Alhamdulillah, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia,” ujarnya.

Ismail Sabri juga memaklumkan, kadar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus pada bulan September 2022 berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos 2022.

“Kadar ini lebih rendah berbanding negara serantau dan negara lain iaitu Zon Euro: 10.0 peratus; Amerika Syarikat: 8.2 peratus; Thailand: 6.4 peratus; Filipina:6.9 peratus; dan Republik Korea: 5.6 peratus.

“Selain itu, bagi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negara.

“Daripada jumlah itu, subsidi untuk petrol, diesel dan LPG sebanyak RM41.7 bilion; subsidi minyak masak paket 1 kg dan minyak botol sebanyak RM3.0 bilion; subsidi bil elektrik sebanyak RM5.8 bilion; bantuan-bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian sebanyak RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain sebanyak RM1.5 bilion,” kata beliau lagi.

Tambahnya, pada 7 Oktober yang lalu, kerajaan telah membentangkan Bajet 2023 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara kerana memperuntukkan sebanyak RM372.3 bilion untuk memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

“Bajet ini bukan sekadar manifesto kerana mempunyai kewangan yang mencukupi untuk melaksanakannya, yang mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir, sama ada di ceruk desa atau di bandar, B40, M40, pelajar, OKU, wanita, usahawan dan sebagainya, semua mendapat manfaat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,477FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat